Langkau ke kandungan utama

KUCHING 26 Nov. - Kerajaan tidak bercadang untuk membeli keseluruhan pegangan saham dalam syarikat konsesi lebuh raya terutama Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), kata Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata, pembelian syarikat-syarikat konsesi itu pada masa ini akan mencetuskan pelbagai isu yang membabitkan sektor swasta serta pelabur-pelabur saham.

"Kami kena kaji perkara (pembelian syarikat konsesi lebuh raya) ini dari banyak sudut untuk mencapai penyelesaian. Banyak isu-isu yang harus diberi pertimbangan dan ia memerlukan kajian yang mendalam," kata beliau pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Perbendaharaan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan supaya kerajaan membeli keseluruhan pegangan saham dalam syarikat konsesi lebuh raya bagi membolehkan lebuh raya-lebuh raya di bawah syarikat terbabit dijadikan milik awam.

Perkara itu dicetuskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Shahrir Samad yang berpendapat dengan pengambilalihan aset syarikat-syarikat swasta itu, beban kenaikan tol yang dihadapi oleh para pengguna dari semasa ke semasa dapat diatasi.

Menurut beliau, pembelian aset seperti PLUS membolehkan beban kenaikan caj tol akibat perjanjian dengan pihak konsesi terbabit dialihkan daripada rakyat.

Nor Mohamed yang enggan mengulas lanjut berkata, apa yang penting kajian lebih lanjut perlu dilakukan jika kerajaan benar-benar mahu membeli kepentingan dalam syarikat-syarikat konsesi lebuh raya tersebut.

Dalam perkembangan yang lain, beliau berkata, kerajaan yakin akan mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak enam peratus tahun ini walaupun berhadapan dengan masalah subprima dan juga kenaikan harga minyak dunia.

"Kita yakin akan mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak enam peratus pada tahun ini," kata beliau.

Bukan itu sahaja, beliau memberitahu, Kerajaan Pusat telah mengurangkan defisit daripada 5.5 peratus pada tahun 2000 kepada tiga peratus pada tahun lalu.

"Pada tahun ini, kita sasarkan defisit sebanyak 3.2 peratus dan pada tahun akan datang pula, ia dikurangkan kepada 3.1 peratus," katanya.

Nor Mohamed turut melahirkan rasa gembira dengan bajet lebihan negeri Sarawak yang diumumkan oleh Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

"Pada isu lebihan bajet ini, saya berasa amat gembira dan ia sangat bagus," kata beliau.

Mengenai lawatan kerja beliau ke negeri itu, beliau berkata, prestasi ekonomi negeri Sarawak amat menggalakkan apabila Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sarawak berjaya membuat kutipan hasil sebanyak RM2.09 bilion sehingga kini.

"Kita yakin untuk tahun ini LHDN akan mengutip RM2.3 bilion berbanding tahun sebelumnya iaitu RM2.05 bilion," katanya.

Ujar beliau, Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Sarawak pula mengutip hasil sebanyak RM1.016 bilion sehingga ini dengan sasaran sebanyak RM1.2 bilion sehingga hujung tahun ini.

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia