Langkau ke kandungan utama

PLUS Expressways Bhd (Plus Expressways), pengendali tol Projek Lebuh raya Utara-Selatan Berhad (Plus) yang mencadangkan kenaikan 10 peratus kadar tol bermula 1 Januari tahun depan, masih menunggu keputusan kerajaan mengenai cadangan itu.

Mengikut perjanjian konsesi dengan kerajaan, Plus berhak menaikkan kadar tol 10 peratus untuk setiap tiga tahun bermula Januari 2008 selepas kenaikan kali terakhir tol dilakukan pada 1 Januari 2005.

Pengarah Urusan Plus Expressways, Noorizah Abd Hamid berkata, sebarang kenaikan kadar tol adalah penting bagi operasi syarikat khususnya bagi membiayai pinjaman dan digunakan untuk operasi baik pulih serta penyelenggaraan lebuh raya.

"Saya tidak tahu bila Kabinet akan membincangkan perkara ini kerana kami sudah menghantar kertas cadangan mengenainya kepada kerajaan dan kami hanya menunggu kerajaan untuk memaklumkan kami.

"Kami tidak tahu sama ada ia akan dilaksanakan atau tidak, atau sama ada akan dilakukan kenaikan kecil atau berapa lama ia akan ditangguhkan... terserah kepada kerajaan untuk menentukannya," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan Luar Biasa (EGM) Plus Expressways di Kuala Lumpur, semalam 

EGMitu adalah bagi mendapatkan kelulusan daripada langkah syarikat itu mengambil alih seluruh kepentingan ekuiti dalam Lebuh raya Lingkaran Tengah Sdn Bhd (Elite) dan Linkedua (M) Bhd dari UEM Group Bhd pada harga RM866 juta.

Ketika ini, Plus Expressways mengendalikan rangkaian lebuh raya bertol membabitkan Lebuhraya Utara Utara-Selatan, Lebuh raya Lembah Klang Baru, sebahagian Lebuh raya Persekutuan Laluan 2 antara Subang dan Klang serta Lebuh raya Seremban-Port Dickson.

Kelmarin, Menteri Kerja Raya Datuk Seri S Samy Vellu pada sidang Dewan Rakyat berkata kerajaan perlu membayar pampasan RM380 juta kepada syarikat pengendali tol jika mereka tidak dibenarkan menaikkan kadar tol pada tahun depan.

Sementara itu, mengulas kenyataan Samy Vellu, Timbalan Perdana Menteri , berkata kerajaan akan mengambil kira pandangan semua pihak mengenai soal pembayaran pampasan RM380 juta itu.

Datuk Seri Najib Razak, berkata ketika ini belum tiba masanya untuk kerajaan membuat keputusan mengenai perkara itu.

"Kita akan mengambil pandangan dari semua pihak," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kompeni Askar Wataniah Parlimen Johor yang turut dihadiri Menteri Besara Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jen Tan Sri Abdul Aziz Zainal di Dataran Bandar raya Johor Baru, semalam.

Pengurusi Plus Expressways, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim, berkata pemilikan penuh  kedua-dua syarikat itu akan meningkatkan lagi profil kumpulan yang kini mempunyai rangkaian bersepadu lebuh raya yang menghubungkan dari Utara Semenanjung hingga ke Singapura.

Beliau berkata, pengambilalihan kedua-dua syarikat pengendali tol itu dijangka menyumbang kira-kira 15 peratus kepada pendapatan syarikat tahun depan.

 

Tarikh
Surat Khabar
Harian Metro