Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya meminta semua pihak berkuasa tempatan dan majlis daerah tidak meluluskan projek pembangunan di cerun berhampiran jalan persekutuan atau lebuh raya bagi mengelakkan risiko tanah runtuh. 

Menterinya, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata walaupun dalam banyak keadaan pembangunan sebegitu dilakukan dalam tanah persendirian, masalah penyelenggaraan boleh menjejaskan kestabilan cerun hingga menyebabkan tanah runtuh. 

Dengan mengambil contoh kejadian tanah runtuh di Bukit Berapit, Kuala Kangsar, Perak, kelmarin, beliau berkata siasatan awal mendapati keretakan dinding kolam ikan di atas cerun itu menyebabkan kestabilannya terjejas berikutan limpahan air. 

"Sehubungan itu, saya juga mengarahkan Plus Expressway Bhd (Plus) untuk membuat pemantauan termasuk dari udara bagi mengenal pasti semua kawasan cerun di sepanjang lebuh raya yang mungkin terdedah kepada tanah runtuh berikutan projek pembangunan di atasnya. 

"Projek pembangunan di cerun bukit boleh menjejaskan keselamatan orang ramai yang menggunakan lebuh raya bernilai berbilion ringgit yang kita bina," katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan persidangan tahunan Persekutuan Doktor-Doktor Gigi India (Fodi) di sini, semalam. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan bersama semua pengendali lebuh raya akan membuat pemeriksaan lanjut bagi mengenal pasti kemungkinan bahaya yang mungkin menjejaskan pengguna jalan dan lebuh raya pada masa depan. 

"Kita mesti merangka strategi jangka panjang bagi memastikan kejadian sebegini tidak berulang," katanya. 

Samy Vellu yang turut membuat tinjauan menggunakan helikopter di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan, tengah hari semalam berkata, tanah runtuh di Kilometer 660.7 hingga 660.8 di Jalan Persekutuan Kuala Kangsar-Bukit Gantang, disebabkan limpahan air daripada dua kolam ikan yang menyebabkan kerosakan pada cerunnya. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian