Langkau ke kandungan utama

JOHOR BAHRU 23 Nov. - Kerajaan akan mengambil kira pandangan semua pihak berhubung soal pembayaran pampasan kepada syarikat-syarikat konsesi lebuh raya jika kadar tol tidak dinaikkan pada tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pada masa ini, belum tiba masanya untuk kerajaan membuat apa-apa keputusan berhubung perkara itu.

"Kita akan mengambil pandangan semua pihak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Perdana, Kompeni Askar Wataniah Parlimen Negeri Johor di Dataran Bandaraya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samu Vellu di Dewan Rakyat semalam bahawa kerajaan terpaksa membayar pampasan berjumlah RM380 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya jika kadar tol tidak dinaikkan tahun depan.

Menurut beliau, lapan syarikat konsesi lebuh raya dijadualkan menaikkan kadar tol masing-masing pada 1 Januari 2008, sementara sebuah lagi pada 1 Oktober 2008.

Pampasan sebanyak RM75 juta lagi diperuntukkan kepada pengendali lebuh raya LITRAK di Kuala Lumpur ekoran pengurangan kadar tol daripada RM2.20 kepada RM1.60 yang telah diluluskan tahun ini.

Menurut Samy Vellu, dalam menaikkan kadar tol, kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada masalah yang bakal dihadapi oleh rakyat.

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia