Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu mengemukakan tiga cadangan untuk mengurangkan beban pengguna jika berlaku kenaikan kadar tol mulai Januari tahun depan untuk dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Rabu depan.

Menurut beliau, selain pengguna, kesemua cadangan tersebut turut mengambil kepentingan kerajaan dan syarikat konsesi yang terlibat.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan cadangan yang telah pun diberikan kepada semua menteri untuk diteliti sebelum ia dibincangkan secara lebih terperinci.

"Saya telah berikan tiga cadangan ini kepada semua menteri tetapi saya tidak boleh beritahu apakah isi kandung cadangan itu.

"Saya minta semua menteri melihat, memberi perhatian (tiga cadangan itu) dan kemudian memberi arahan kepada saya mengenai langkah yang paling sesuai yang harus saya ambil (dalam mesyuarat Kabinet)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis perasmian Seminar Persekutuan Doktor Gigi India di sini hari ini.

Di Dewan Rakyat semalam, Samy Vellu memberitahu, kerajaan terpaksa membayar pampasan berjumlah RM380 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya jika kadar tol tidak dinaikkan tahun hadapan.

Menurutnya, lapan syarikat konsesi lebuh raya dijadualkan menaikkan kadar tol masing-masing pada 1 Januari ini, sementara sebuah lagi pada 1 Oktober.

Antara syarikat konsesi yang terlibat ialah Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Hulu Klang, Lebuh Raya Utara-Selatan-Hubungan Tengah; Lebuh Raya Seremban-Port Dickson dan Lebuh Raya Kulim-Butterworth.

Dalam pada itu, Samy Vellu mengakui setiap cadangan yang dikemukakan ke Kabinet itu terikat dengan kos.

Ketika ditanya sebab kerajaan terpaksa membayar pampasan berjumlah RM380 juta bagi tempoh setahun sekiranya tidak mahu syarikat konsesi menaikkan kadar tol, beliau memberitahu, ia bertujuan mengelakkan timbul masalah undang-undang pada masa hadapan.

"Berdasarkan perjanjian yang telah ditandatangani antara pihak kerajaan dan syarikat-syarikat konsesi, mulai Januari tahun depan mereka berhak menaikkan kadar tol masing-masing.

"Jika kerajaan tidak mahu memberi hak tersebut (menaikkan kadar tol), kita perlu bayar sebanyak RM380 juta kepada mereka untuk tempoh setahun," ujarnya.

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia