Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Plus Expressways Bhd. (PLUS) bercadang menaikkan kadar tol sebanyak 10 peratus pada awal Januari depan.

Pengarah Urusannya, Noorizah Abd. Hamid berkata, PLUS telah menghantar cadangan itu kepada kerajaan beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun katanya, kerajaan masih belum memberi sebarang keputusan berhubung permohonan PLUS tersebut.

?Cadangan kenaikan itu adalah berdasarkan perjanjian konsesi yang dipersetujui oleh kerajaan untuk tempoh setiap tiga tahun.

??Kami telah menghantar permohonan tersebut beberapa bulan lalu, tetapi kami tidak tahu bila perkara tersebut akan dibincangkan oleh Kabinet,?? katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat agung luar biasa PLUS di sini hari ini.

Noorizah berkata, kali terakhir PLUS menaikkan kadar tol lebuh rayanya ialah pada 1 Januari 2005.

PLUS mengendalikan rangkaian Lebuh Raya Utara-Selatan, Lebuh Raya NKVE, laluan kedua Lebuh Raya Persekutuan antara Subang dan Klang serta Lebuh Raya Seremban-Port Dickson.

Ketika mengulas lanjut mengenai cadangan kenaikan tol itu, Noorizah berkata, sekiranya kadar kenaikan tol kurang daripada jumlah yang dipersetujui atau kenaikan kadar tol tidak dibenarkan, maka kerajaan perlu membayar pampasan kepada PLUS berdasarkan jumlah trafik.

Semalam, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, kerajaan terpaksa membayar pampasan berjumlah RM380 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya jika kadar tol tidak dinaikkan pada tahun depan.

Sebanyak lapan syarikat konsesi lebuh raya dijadual menaikkan kadar tol masing-masing pada 1 Januari 2008 dan sebuah syarikat lagi pada 1 Oktober 2008.

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia