Langkau ke kandungan utama

JOHOR BAHRU 25 Nov. - Kerajaan disaran membeli keseluruhan pegangan saham dalam syarikat konsesi lebuh raya bagi membolehkan lebuh raya-lebuh raya di bawah syarikat terbabit dijadikan milik awam.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Shahrir Samad berkata, dengan pengambilalihan aset syarikat-syarikat swasta itu, beban kenaikan tol yang dihadapi oleh para pengguna dari semasa ke semasa diyakini dapat diatasi.

Menurut beliau, pembelian aset seperti dari Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) itu membolehkan beban kenaikan caj tol akibat perjanjian dengan pihak konsesi terbabit dialihkan daripada rakyat.

Katanya, pendekatan itu membolehkan tol yang dikenakan kepada pengguna adalah semata-mata bagi tujuan pembiayaan penyelenggaraan lebuh raya.

"Masalah penswastaan ini berlaku kerana ia dibiayai oleh pihak bank dan sebab itu pulangannya adalah berdasarkan faktor komersial.

"Saya mencadangkan agar kita strukturkan semula pegangan swasta ini untuk dijadikan pegangan awam yang secara tidak langsung masalah kenaikan tol ini dapat diatasi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen derma darah anjuran Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Cabang Johor Bahru di sini hari ini.

Khamis lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu mengumumkan di Dewan Rakyat, kerajaan terpaksa membayar pampasan berjumlah RM380 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya jika kadar tol tidak dinaikkan tahun hadapan.

Sebanyak lapan syarikat konsesi lebuh raya dijadual menaikkan kadar tol masing-masing pada 1 Januari ini, sementara sebuah lagi pada 1 Oktober.

Antara syarikat konsesi yang terlibat ialah Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Hulu Klang, Lebuh Raya Utara-Selatan-Hubungan Tengah, Lebuh Raya Seremban-Port Dickson dan Lebuh Raya Kulim-Butterworth.

Jelas Shahrir, beliau melihat kepentingan rakyat perlu lebih diutamakan dan cadangan radikal bagi pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi terbabit merupakan antara langkah penyelesaian mengurangkan beban rakyat.

"Buat permulaan, kerajaan mungkin boleh membeli Lebuh Raya Utara-Selatan sebelum Lebuh Raya Lembah Klang Baru, Lebuh Raya Seremban-Port Dickson dan sebagainya," katanya.

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia