Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR 22 Nov. ? Kerajaan terpaksa membayar pampasan berjumlah RM380 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya jika kadar tol tidak dinaikkan pada tahun hadapan, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu.

Beliau berkata, sebanyak lapan syarikat konsesi lebuh raya dijadualkan menaikkan kadar tol masing-masing pada 1 Januari 2008, sementara sebuah lagi pada 1 Oktober 2008.

??Kementerian Kerja Raya menganggarkan pampasan sebanyak RM380 juta perlu disediakan bagi tahun 2008 sekiranya kenaikan kadar tol tidak dilaksanakan,? katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2008 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Samy Vellu berkata, pampasan RM75 juta lagi diperuntukkan kepada pengendali lebuh raya LITRAK di Kuala Lumpur ekoran pengurangan kadar tol daripada RM2.20 kepada RM1.60 yang telah diluluskan tahun ini.

Katanya, cadangan pembangkang supaya kerajaan mengambil alih pengurusan lebuh-lebuh raya di seluruh negara tidak boleh dilakukan kerana ia bakal membebankan dari segi kewangan kerana kerajaan terpaksa membayar sejumlah pampasan.

Malah, katanya, cadangan Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) supaya Petronas mengambil alih semua lebuh raya di negara ini juga tidak dapat dilaksanakan kerana syarikat minyak negara itu perlu membelanjakan kira-kira RM300 bilion jika hendak berbuat demikian.

Sehubungan itu, katanya, pihak kementerian sedang mencari langkah-langkah alternatif bagi memastikan kadar tol yang dikenakan tidak membebankan rakyat.

??Saya sudah ada rancangan bagaimana mengurangkan beban pengguna. Kita sudah menghantar tiga cadangan kepada Jemaah Menteri untuk dipertimbangkan,? katanya.

Menurut Samy Vellu, dalam menaikkan kadar tol, kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada masalah yang bakal dihadapi oleh rakyat.

Mengenai tanggungjawab sosial yang telah dimainkan oleh syarikat konsesi seperti yang dibangkitkan parti pembangkang, beliau berkata, ia dapat dilihat berdasarkan sumbangan yang diberikan oleh syarikat seperti Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) berjumlah RM1 bilion untuk melebarkan jalan daripada empat kepada enam lorong demi keselesaan pengguna.

Sumbangan sosial syarikat itu juga, katanya, boleh dilihat berdasarkan peruntukan sebanyak RM100 juta setahun untuk membaiki dan melebarkan jalan selain membayar gaji pekerja mereka.

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia