Langkau ke kandungan utama

GEORGETOWN: Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) Pulau Pinang yakin UEM Builders Bhd (UEM Builders) akan menyerahkan 30 peratus daripada kerja pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang kepada kontraktor Bumiputera. 

Keyakinan itu bersandarkan kepada jaminan diberikan Pengarah Urusan UEM Builders, Datuk Ridza Abdoh Salleh kepada Pengerusi Gabem Pulau Pinang, Datuk Ahmad Ibnihajar, bulan lalu. 

Ahmad yang juga Pengarah Urusan Penang Port Sdn Bhd (PPSB), berkata UEM Builders memaklumkan pihaknya akan memeriksa latar belakang dan rekod kontraktor Bumiputera yang layak untuk diberikan projek. 

 

"UEM Builders memberi jaminan kepada Gabem bahawa pihaknya akan memastikan agihan projek dilakukan secara adil dan telus kepada kontraktor yang dipilih," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani Perjanjian Bersama (CA) di antara PPSB dengan Kesatuan Pekerja PPSB di Batu Feringghi, dekat sini, kelmarin. 

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi PPSB, Mohd Niana Merican dan Yang Dipertua Kesatuan Pekerja PPSB, Anuar Omar. CA yang berkuatkuasa mulai 2005 sehingga 2009 akan memberi faedah kepada 1,600 kakitangan bukan pengurusan PPSB. 

Ahmad diminta mengulas keberkesanan Gabem untuk memastikan kontraktor Bumiputera di Pulau Pinang tidak akan dipinggirkan dalam melaksanakan projek jambatan kedua itu. 

Jambatan Kedua Pulau Pinang sepanjang 24 kilometer yang menghubungkan Batu Maung di bahagian pulau dan Batu Kawan di Seberang Prai, sedang dibina dengan kos antara RM3 bilion hingga RM4 bilion. 

Laluan kedua yang menghubungkan tanah besar dan pulau negeri ini, dijangka siap pada akhir 2010 dan beroperasi pada awal 2011. 

UEM Builders dan syarikat dari China, China Harbour Engineering Company Ltd (China Harbour) dilantik sebagai kontraktor utama projek itu. 

Ahmad menjelaskan, Gabem menerusi jawatankuasa kecil yang ditubuhkan akan memastikan kerja yang diberikan kepada kontraktor Bumiputera, tidak diserahkan kepada pihak lain untuk dilaksanakan. 

"Kami tidak mahu projek yang diberikan oleh UEM Builders, dilaksanakan secara 'Ali Baba' dan jika ini berlaku, kontraktor terbabit wajar digugurkan," katanya. 

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian