Langkau ke kandungan utama

Pengguna hanya perlu pakai kad prabayar tanpa henti kenderaan 

KUALA LUMPUR: Mulai tahun depan, sistem kutipan tol sedia ada di Lembah Klang akan digantikan sepenuhnya dengan sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF), yang juga dikenali sebagai sistem gantri mulai tahun depan, kata Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu. 

Beliau berkata, melalui sistem baru itu, pengguna lebuh raya hanya perlu menggunakan kad tol prabayar dan memandu melintasi palang pengimbas tanpa perlu memperlahankan atau menghentikan kenderaan seperti sekarang dan bayaran akan ditolak secara automatik daripada kad prabayar seperti kaedah Smart Tag dan Touch n Go. 

Sistem MLFF sudah digunakan secara meluas di Eropah, Amerika Syarikat, Australian, Kanada serta Singapura dan memiliki pengimbas laser untuk mengenal pasti kelas kenderaan sebelum bayaran ditolak daripada kad tol prabayar. Sistem itu kemudian akan mendebit bayaran tol dan memaklumkan pengguna jumlah bayaran yang dikenakan. 

Samy Vellu berkata, semua persiapan seperti penubuhan Pusat Penyelarasan Kutipan Tol (NCCH) yang akan memantau kutipan tol dan kadar caj kepada pengguna, selain pindaan undang-undang yang berkaitan dijangka siap sepenuhnya pada Mac tahun depan. 

Beliau berkata, kos pelaksanaan sistem bayaran tol gantri yang diyakini mampu mengurangkan kesesakan teruk di plaza tol khususnya di Lembah Klang dianggarkan RM800 juta, termasuk bagi kerja menukar peralatan dan membina palang gantri. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Minggu