Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

0

Putrajaya, 7 November 2023 - Malam ini telah berlangsung Majlis Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AiPSA) 2023 yang dihadiri oleh Menteri Kerja Raya, YB. Dato Sri Alexander Nanta Linggi bersama Ybhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad, Ketua Setiausaha, Kementerian Kerja Raya Malaysia.

Majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya telah disempurnakan perasmiannya oleh YAB. Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.

Anugerah inovasi diwujudkan bertujuan mengiktiraf dan meraikan agensi yang telah memberi sumbangan signifikan dan nilai tambah kepada penyampaian perkhidmatan awam demi kesejahteraan rakyat. Anugerah inovasi mula diperkenalkan pada tahun 1990 dengan nama Anugerah Kualiti Perdana Menteri (AKPM) untuk keseluruhan kategori manakala bagi sektor awam pula dikenali sebagai Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam (AKPA). Bagi tempoh tahun 2009 hingga 2017, anugerah inovasi dijenamakan sebagai Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) bagi keseluruhan kategori manakala bagi sektor awam pula dikenali sebagai Anugerah Kualiti Sektor Awam (AKSA). Bagi tempoh tahun 2010 hingga 2016, AKSA dijenamakan semula sebagai Anugerah Inovasi Sektor Awam (AISA).

Walau bagaimanapun, pelaksanaan Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) dan Anugerah Inovasi Sektor Awam (AISA) telah ditangguhkan sejak tahun 2018. Program ini ditangguhkan bagi memberi laluan melaksanakan kajian keberkesanan serta penambahbaikan kedua-dua program anugerah tersebut. Sehubungan itu, bermula pada tahun 2023, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengadakan semula program anugerah inovasi ini dengan nama baharu iaitu Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AIPSA).

Tahniah diucapkan kepada pemenang-pemenang daripada pihak KKR, selamat maju jaya dan teruskan tekad anda dalam menyediakan perkhidmatan awam yang terbaik demi kesejahteraan rakyat.

0

Bangi, Selangor, 7 November 2023 –Telah berlangsung Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Rintis Bangunan Daif di SK Bandar Baru Bangi, Selangor yang telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia. Turut hadir ke majlis, YB Dato’ Seri Amirudin Bin Shari, Menteri Besar Selangor, YB Puan Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Pendidikan, YBhg. Tan Sri Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara, YBhg Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam Bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya dan YBhg. Datuk Ir. Ahmad Redza bin Ghulam Rasool, Ketua Pengarah Jabatan kerja Raya Malaysia.

Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui agensi iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) merupakan agensi pelaksana bagi projek ini. Projek di SK Bandar Baru Bangi ini telah diiklan tender pada 17 April 2023 dengan menggunakan proses perolehan secara kaedah kelayakan terpilih. Surat Setuju Terima (SST) telah dikeluarkan pada 11 Mei 2023 dan kerja-kerja pembinaan di tapak telah bermula pada 26 Mei 2023.

Tempoh perolehan yang singkat ini telah dapat memastikan kerja di tapak dapat dimulakan dengan segera. Skop kerja telah dibahagikan kepada dua (2) sectional, iaitu Sectional 1 yang telah melibatkan skop pembinaan 4 bilik darjah dan tanda yang mana telah siap dan Certificate of Completion (CPC) dikeluarkan pada 22 Ogos 2023.

Pembinaan bangunan 4 bilik darjah serta tandas berkenaan telah berjaya disiapkan dalam tempoh pembinaan selama 3 bulan seperti yang dirancang dengan menggunakan kaedah reka bentuk Pre-Approved Plan (PAP) serta kaedah Industrialized Building System (IBS) iaitu menggunakan sistem Lightweight Wall Panel. Manakala, Sectional 2 pula melibatkan skop penyelenggaraan bumbung dan lain-lain kemudahan berkaitan yang akan disiapkan pada 23 Ogos 2024.

Kejayaan projek rintis bangunan daif ini disiapkan dalam tempoh lebih cepat adalah hasil penambahbaikan proses kerja yang telah dilaksanakan bersama Pasukan STAR. Sinergi antara agensi pelaksana, JKR dan semua rakan strategik Kementerian Pendidikan Malaysia ini diharapkan berterusan untuk semua projek lain terutamanya untuk diperluaskan ke Sabah dan Sarawak. KKR sentiasa komited dalam membantu menyediakan infrastruktur yang dapat memberi kesan yang besar kepada murid, guru, dan ibu bapa di mana warga sekolah mendapat bangunan baru yang lebih sempurna, selamat dan selesa.

0

Sepang, 3 November 2023 – Ybhg Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Bin Haji Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya telah melakukan tinjauan kerja terhadap kerja-kerja penyenggaraan dan pembaikan lampu jalan di Jalan Persekutuan di Laluan FT26, FT27, FT29, FT30 dan FT182.

Tinjauan bermula dari sempadan Jalan PLUS dan Jalan JKR, seterusnya di laluan FT26 dan FT27 bagi meninjau keseluruhan lampu jalan di kawasan Lapangan Terbang Internasional Kuala Lumpur (KLIA). Tinjauan diteruskan di feeder pillar lampu yang telah siap kerja pembaikan.

Turut hadir bersama-sama dalam tinjauan ini ialah YBhg. Datuk Ir Ahmad Redza Ghulam Rasool, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR), YBrs. Cik Helena Remeo, Setiausaha Bahagian Pengurusan Fasiliti Kementerian Kerja Raya, YBrs. Tuan Ir Mohd Zawawi Zakaria, Timbalan Pengarah JKR Selangor, YBrs,Tuan Ir. Haniff Ab Hamid, Ketua Jurutera Elektrik Negeri JKR Selangor, Ybrs. Encik Azarul Azlan Mohd Radhi, Jurutera Daerah JKR Daerah Sepang serta Roadcare Sdn Bhd yang merupakan wakil konsesi Jalan.

KKR sentiasa cakna akan kepentingan dan keselesaan pengguna jalan raya di Malaysia. Sebarang aduan, orang awam disarankan mengemukakan aduan di saluran aduan rasmi SISPAA JKR. Aduan berkaitan jalan turut boleh diadukan melalui Aplikasi MyJalan KKR yang boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Playstore, Apple App Store, dan Huawei App Gallery.

0

Kuala Lumpur, 3 November 2023 - Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah merasmikan pembukaan Lebuhraya Setiawangsa Pantai (SPE) melibatkan baki jajaran sepanjang 16.3 kilometer bermula dari Setiawangsa ke Kerinchi yang dibuka secara rasmi kepada pengguna jam 11:59 malam, 3 November 2023.

Sebahagian jajaran Lebuhraya SPE iaitu Seksyen 4 (Setiawangsa – Taman Melati) sepanjang 4.4 km telah dibuka kepada pengguna pada 21 Disember 2021.

Lebuhraya SPE ini dibahagikan kepada empat seksyen utama iaitu Kerinchi – Salak (Seksyen 1), Salak – Pandan (Seksyen 2), Pandan – Setiawangsa (Seksyen 3) dan juga Setiawangsa – Taman Melati (Seksyen 4) dengan jarak keseluruhan sepanjang 20.7 km, laluan 3 lorong dua hala dan 7 persimpangan bertingkat.

Lebuhraya SPE ini menghubungkan beberapa lebuh raya lain seperti Lebuhraya SPRINT, AKLEH, DUKE, MRR2 dan lain-lain bagi meningkatkan kecekapan rangkaian dan mengurangkan kesesakan di Bandaraya Kuala Lumpur.

Berdasarkan kajian yang telah dibuat oleh pihak perunding trafik, lebuh raya ini dijangka mampu mengurangkan sehingga 30% masalah kesesakan lalu lintas yang sering dihadapi pengguna terutamanya pada waktu puncak melibatkan laluan ke utara, timur, barat dan selatan Kuala Lumpur untuk masuk dan keluar dari Pusat Bandaraya Kuala Lumpur.

Pembukaan sepenuhya Lebuhraya SPE ini, pastinya akan membawa impak signifikan terhadap usaha Kerajaan untuk membantu menyuraikan trafik bagi Bandaraya Kuala Lumpur selain usaha menaik taraf kemudahan infrastruktur untuk keselesaan rakyat setempat. Sebagai contoh, tempoh perjalanan pada waktu puncak dari Kerinchi ke Taman Melati, Gombak dan sebaliknya dijangka akan mengambil masa hanya 35 minit sahaja berbanding dengan laluan sedia ada yang mengambil masa selama 1 jam 30 minit.

Selaras dengan Kempen MYJalan iaitu inisiatif KKR yang bertujuan untuk meningkatkan akauntabiliti dan menggalakkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya, pemain industri dan agensi kerajaan bahawa jalan raya dan lebuh raya adalah tanggungjawab bersama, diharapkan semua pengguna dapat bersama-sama memupuk rasa tanggungjawab menjaga dan menyayangi infrastruktur awam seperti SPE ini agar manfaat dan impak positifnya berterusan.

Projek Lebuhraya SPE juga hari ini telah menerima penganugerahan “Malaysia Book of Records” (MBOR) bagi dua (2) kategori binaan iaitu:

  1. Longest Double Deck Carriageway on Single Pier Structure (Dual Direction) sejauh 2.104 km, dan
  2. Longest Elevated Land Bridge sejauh 20.686 km

YB Menteri Kerja Raya juga mengumumkan tol diberikan secara percuma selama 30 hari sehingga 2 Disember 2023, jam 11.59 malam di Plaza Tol Chan Sow Lin, Plaza Tol Ampang (dari Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) menuju ke SPE) dan Plaza Tol Setiawangsa (arah selatan dan utara).

YB Menteri Kerja Raya turut menasihatkan semua pengguna Lebuhraya SPE agar sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan memastikan supaya tidak memberhentikan kenderaan di tepi lebuh raya untuk mengambil gambar atau berswafoto. Ini boleh membahayakan bukan saja diri sendiri malah pengguna lebuh raya yang lain juga.

0

Alor Gajah, 2 November 2023 - Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah menyempurnakan Majlis Penganugerahan Sijil Kompetensi Teknikal Jabatan Kerja Raya Malaysia Tahun 2023 di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE) JKR pada pagi tadi.

Majlis turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Datuk Seri Hj Hasnol Zam Zam, Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Datuk Ir Ahmad Redza Ghulam Rasool, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Infra Jabatan Kerja Raya, YBhg. Datuk Dr Amran Mohd Majid serta Pengarah Kanan CREaTE Jabatan Kerja Raya (JKR), YBrs. Ir Mohd Shahrom Ahmad Saman.

Program Pensijilan Kompetensi JKR yang bertemakan “Kompetensi Teknikal Pemangkin Kecemerlangan Negara”, bertepatan dengan kepentingan peningkatan kompetensi dan daya saing modal insan dalam kalangan warga JKR agar memenuhi ekspektasi jabatan sekali gus menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan negara. Ia bertujuan untuk melahirkan pakar rujuk dan khidmat nasihat dalam bidang strategik secara berperingkat dan sistematik.

Program ini terbuka kepada pegawai pengurusan dan profesional serta kumpulan pelaksana sama ada yang berkhidmat di JKR atau Agensi Kerajaan lain (Pegawai Kader). Sebanyak 600 permohonan telah diterima melibatkan 64 kompetensi dan daripada jumlah permohonan tersebut seramai 392 orang telah layak menerima sijil yang terdiri daripada pelbagai disiplin Kejuruteraan, Arkitek dan Ukur Bahan/Bangunan yang telah diperakukan penganugerahan sijil kompetensi Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Mekanikal, Ukur Bahan, Arkitek, Pengurusan Aset, Pengangkutan Darat, Kelestarian Alam Sekitar, kompetensi Pengurus Nilai (VM), kompetensi inovasi dan kompetensi Pengurusan Projek setelah melalui beberapa proses bermula pada 1 Mac 2023 yang lalu.

Sepanjang 8 tahun program ini dijalankan, JKR telah berjaya melahirkan seramai 2,513 orang pegawai berkepakaran tinggi dalam bidang teknikal dan mensasarkan statistik tersebut meningkat tahun demi tahun. Dengan peningkatan kompetensi dalam warga JKR ia akan mewujudkan lebih ramai pakar rujuk dalam bidang teknikal sekali gus dapat membantu kepada pembangunan infrastruktur dan merealisasikan hasrat Kerajaan dengan menyediakan fasiliti yang terbaik untuk rakyat.

Tahniah diucapkan kepada semua penerima sijil. Semoga dengan pentauliahan ini dapat melestari peningkatan kompetensi dan daya saing modal insan memacu Malaysia ke arah negara progresif dan berkemahiran tinggi.

0

Kuala Lumpur, 31 Oktober 2023 – Telah berlangsung sambutan Majlis Hari Inovasi Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Agensi 2023 yang bertemakan ‘Inovasi Madani, Konsolidasi Produktiviti’. Objektif utama Majlis Hari Inovasi adalah untuk meraikan pembudayaan inovasi khususnya kepada pereka cipta inovasi KKR dan agensi. Majlis ini telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi yang bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), YBhg. Datuk Ir Ahmad Redza Ghulam Rasool, Timbalan Ketua Setiausaha Dasar & Pembangunan KKR, YBhg. Datuk Zahrul Hakim Abdullah, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, YBrs. Tuan Ir Sazali Harun serta Ketua Eksekutif CIDB Malaysia Datuk Sr. Mohd Zaid Zakaria.

Selaras dengan rukun ketiga Malaysia MADANI iaitu Daya Cipta, penganjuran julung-julung kali Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) Peringkat KKR dengan penyertaan pereka cipta inovasi daripada 13 Bahagian/Unit Kementerian adalah satu usaha yang membanggakan. KKR telah berjaya menghantar 19 kumpulan mewakili KKR dan Agensi ke Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AIPSA). Dua wakil KKR dan Agensi telah berjaya ke saringan akhir bagi merebut ganjaran RM300 ribu dan sekaligus layak dicalonkan ke penerima anugerah utama iaitu bernilai RM1 juta. Untuk Konvensyen Inovatif dan Kreatif Sektor Awam (KIKSA), KKR menghantar 11 penyertaan mewakili KKR dan Agensi dan satu kumpulan telah berjaya ke peringkat akhir.

Di dalam ucaptama beliau, Menteri Kerja Raya mencadangkan satu program ‘“Sandbox” Infrastruktur Jalan Pintar diperkenalkan sebagai satu platform inovasi yang membolehkan integrasi teknologi dikaji dan diuji bagi urusan pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur jalan secara inklusif di seluruh negara. Melalui program ini, KKR amat mengalu-alukan penglibatan pemain industri tempatan dan antarabangsa serta agensi kerajaan untuk bersama-sama merealisasikan program ini, selaras dengan aspirasi kempen MYJalan dan hasrat kerajaan untuk memperkasakan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dengan penggunaan teknologi berketepatan tinggi dan efisien.

Setelah selesai sesi penyampaian anugerah, Menteri Kerja Raya serta tetamu kehormat dibawa melawat ke reruai pameran Pereka Cipta Inovasi KKR dan Agensi dan juga reruai pempamer lain. Turut berlangsung Ceramah Inovasi disampaikan oleh YBhg. Prof. Madya Dato' Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.

KKR mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada 15 peserta akhir mewakili KKR, JKR, LLM dan CIDB yang telah berjaya ke peringkat akhir Anugerah Kumpulan Inovatif dan Kreatif Peringkat KKR & Agensi. Anda semua adalah pemenang dan pereka cipta inovasi unggul KKR & Agensi. Semoga kemenangan ini menjadi motivasi untuk terus kekal kreatif, inovatif, berdaya saing serta bergerak seiring matlamat kerajaan membangun Malaysia Madani.

0

Kuala Lumpur, 26 Oktober 2023 – Telah berlangsung Sambutan Hari Psikologi KKR 2023 sempena Minggu Kesihatan Minda KKR di Bilik Tanjung, Blok A, Aras 6, Kompleks Kementerian Kerja Raya (KKR). Majlis ini merupakan anjuran Cawangan Pengurusan Psikologi, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM). Majlis ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Abdul Rahman Bin Mohamad. Turut hadir bersama-sama adalah Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir. Ahmad Redza Bin Ghulam Rasool, Timbalan Ketua Setiausaha Dasar KKR,  Dato’ Zahrul Hakim Bin Abdullah, Naib Canselor UKM, YBhg. Prof. Dato’ Gs. Ts Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Ir. Sazali Bin Harun, Ketua Eksekutif CIDB Dato’ Sr. Mohd Zaid Zakaria, Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam, Ybrs. Dr Abd Jalil bin Hassan dan Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar UKM.

Penganjuran Hari Psikologi KKR pada tahun ini adalah antara yang terbesar dalam sejarah penganjurannya dengan melibatkan 19 agensi pemberi perkhidmatan dan pameran yang akan dijalankan serentak di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid serta kolaborasi strategik KKR bersama UKM yang akan dimeterai dengan perjanjian MOU. Sambutan Hari Psikologi KKR pada tahun ini bertemakan “ATMA KEHIDUPAN” yang membawa maksud “Jiwa“ atau “Nyawa” yang merupakan asas kepada setiap kehidupan dalam mencapai kesejahteraan dan kehidupan yang baik serta positif.

“ATMA KEHIDUPAN” yang mencakupi empat elemen iaitu Kepelbagaian, Kesihatan, Kasih Sayang serta Keseimbangan merupakan komponen yang saling melengkapi dalam melahirkan penjawat awam yang sejahtera dari segi Emosi, Fizikal, Mental sekaligus boleh menyumbang kepada peningkatan prestasi seterusnya produktiviti ke arah penyampaian perkhidmatan yang cemerlang.

Dalam majlis yang sama, YB Timbalan Menteri Kerja Raya menyampaikan Anugerah AKRAB Unggul Kerja Raya 2023 serta Lafaz Ikrar AKRAB Baharu Kerja Raya 2023. Perkhidmatan Psikologi yang berkesan akan memberi impak signifikan kepada peningkatan tahap kestabilan emosi dan motivasi warga KKR. Pelbagai aktiviti menarik semasa Sambutan Hari Psikologi KKR 2023 tadi antaranya Ceramah  Keluarga XY ; Di Manakah Kita?, Pertandingan Sudip Emas KKR, Program Derma Darah, serta Pameran Mata Wang oleh BNM.

Cawangan Pengurusan Psikologi (CPPs), BPSM seringkali menerima lawatan penanda aras bagi Perkhidmatan Psikologi Sumber Manusia dari pelbagai Kementerian dan Agensi Awam termasuklah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Semoga dengan penganjuran Hari Psikologi ini akan dapat memperkukuh potensi diri penjawat awam di KKR dan Agensi bagi menjayakan agenda Malaysia MADANI melalui pembudayaan nilai murni ke arah penyampaian perkhidmatan yang cemerlang.

 

0

Kuala Lumpur, 25 Oktober 2023 - Hari ini telah berlangsung sesi taklimat projek dan tinjauan Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi ke Projek Setiawangsa - Pantai Expressway (SPE) atau dikenali sebagai DUKE 3.

Sesi taklimat telah berlangsung di Wisma Ekovest Bhd dan seterusnya Menteri Kerja Raya telah dibawa untuk meninjau ke 4 lokasi projek lebuh raya tersebut iaitu di:

1. Seksyen 2 – Bandar Malaysia

2. Seksyen 1 - Ramp Taman Desa

3. Seksyen 3 – Ramp SPE ke AKLEH

4. Seksyen 4 - Bangunan Fasiliti SPE

Lebuhraya SPE merupakan lebuh raya bertingkat ‘dual 3 lane carriageway’ dengan jarak keseluruhan sepanjang 20.7 km. Jajaran lebuh raya ini terbahagi kepada 4 Seksyen iaitu Seksyen 1 (Kerinchi-Salak), Seksyen 2 (Salak-Pandan), Seksyen 3 (Pandan-Setiawangsa) dan Seksyen 4 (Setiawangsa-Taman Melati). Ianya dilengkapi dengan 7 persimpangan bertingkat dan 3 susur keluar/masuk. Ia juga merupakan lebuh raya bertingkat terpanjang di Malaysia.

Menteri Kerja Raya turun padang untuk meninjau kemajuan baki kerja pembinaan Lebuhraya SPE. Semasa sesi lawatan kerja, delegasi Kementerian telah diberikan taklimat oleh pihak syarikat berkaitan status kemajuan terkini pembinaan lebuh raya bagi Seksyen 1, 2 dan 3 sepanjang 16.3 km. Manakala Seksyen 4 sepanjang 4.4 km melibatkan jajaran dari Taman Melati ke Setiawangsa telah pun dibuka pada 21 Disember 2021 yang lalu.

Lebuh raya ini sudah 99 peratus siap, namun beberapa fasiliti seperti kemudahan tandas awam, lampu jalan yang melibatkan bekalan elektrik serta sistem kutipan tol masih dalam proses persiapan akhir. SPE dijangka akan dibuka secara rasmi kepada umum pada 1 November, 2023.

Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama-sama agensi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sentiasa meletakkan keutamaan dalam memberikan kemudahan infrastruktur jalan raya kepada pengguna, namun tidak akan berkompromi dengan faktor keselamatan pengguna jalan raya.

Atas dasar itu, KKR telah mengarahkan syarikat konsesi untuk memastikan setiap faktor, spesifikasi dan kemudahan di laluan ini hendaklah dipastikan lengkap dan sempurna sepenuhnya. Ini selari dengan semangat kempen MYJalan yang memfokuskan kepada keselesaan pengguna jalan raya.

Pembinaan infrastruktur ini adalah seiring dengan inisiatif KKR dan LLM untuk menyediakan infrastruktur berkelas dunia bagi penduduk Kuala Lumpur sekitarnya, malah turut membantu menyuraikan trafik dan menyediakan rangkaian ke kawasan baharu dengan lebuh raya sedia ada.

0

Kuala Lumpur, 24 Oktober 2023– Axiata Arena, Bukit Jalil telah menjadi saksi solidariti lebih 15,000 rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, agama dan bangsa menghadiri Himpunan Malaysia Bersama Palestin bagi menyampaikan mesej kepada dunia dan menunjukkan solidariti terhadap Palestin.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim hadir pada program ini bagi menyatakan sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin dan menekan tindakan kejam Israel. Turut hadir sama barisan Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri serta Ketua-ketua Jabatan dan Agensi kerajaan yang lain. Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam Bin Hj. Ahmad juga hadir sebagai tanda sokongan.

Solidariti ini merupakan terjemahan rasa dan keprihatinan seluruh rakyat Malaysia terhadap kesengsaraan dan penderitaan yang dihadapi oleh rakyat Palestin yang diserang tanpa belas dan perikemanusiaan oleh tentera zionis Israel.

Program telah dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah dan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan di Palestin disusuli beberapa siri ucapan berkenaan sejarah dan perkembangan konflik yang melanda negara tersebut oleh pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan kemuncak beliau di Himpunan Malaysia Bersama Palestin telah menegaskan bahawa Malaysia sentiasa menyokong dan memperjuangkan kebebasan rakyat Palestin dan menyeru agar seluruh rakyat Malaysia memperkuatkan perpaduan di negara ini dalam menangani krisis Palestin selain mempertahankan martabat dan kebebasan negara.

Kesemua yang hadir turut mengibarkan bendera Palestin, melaungkan takbir dan perkataan seperti "Hidup Palestin", "Bebas Palestin" pada himpunan yang bertujuan mempamerkan sokongan jitu rakyat Malaysia selain mendidik mengenai sejarah dan perkembangan konflik berkenaan.

Semoga penderitaan yang dihadapi oleh rakyat Palestin akan segera berakhir dan mendapat sokongan penuh dari seluruh negara di dunia. Usaha kerajaan Malaysia adalah untuk terus memberikan tekanan melalui saluran-saluran seperti Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan tekadkan pemahaman dalam kalangan rakyat dengan pendirian yang dilakukan oleh kerajaan tentang isu ini.

0

Kuala Lumpur, 24 Oktober 2023 – Hari ini telah berlangsung Sambutan Hari Integriti Peringkat Kementerian Kerja Raya Tahun 2023 yang diadakan di Bilik Tanjung, Kompleks Kerja Raya Malaysia. Sambutan ini telah dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi dan turut dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Abdul Rahman bin Mohamad serta wakil dari jabatan dan agensi di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR).

Sambutan Hari Integriti Nasional yang disambut secara tahunan ini adalah bertujuan untuk memupuk kesedaran di kalangan penjawat awam dan masyarakat umum tentang kepentingan mengamalkan nilai-nilai murni dan integriti secara berterusan, dengan matlamat hala tuju bebas daripada amalan rasuah serta penyelewengan pada setiap masa dan keadaan. Lazimnya sambutan Hari Integriti diadakan pada bulan November setiap tahun tetapi KKR mengadakan majlis ini lebih awal dengan tema sambutan “Integriti Citra Malaysia Madani”.

Pada 10 November tahun lepas, KKR telah menandatangani Nota Kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertujuan untuk menjalinkan kerjasama erat berkaitan hal-hal pengoperasian, pencegahan rasuah, pendidikan anti rasuah dan perkongsian kepakaran dan aspek pengesanan jenayah rasuah, penyaluran maklumat serta latihan demi membanteras jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Menteri Kerja Raya dalam ucapannya berharap agar kerjasama bersama pihak SPRM yang telah terbina sejak tahun 2013 melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dan diperbaharui melalui Nota Kerjasama ini dapat dimanfaatkan sebaiknya melalui penganjuran lebih banyak aktiviti, program, serta perkongsian maklumat dan kepakaran di antara kedua-dua pihak, terutamanya dalam membantu pihak SPRM melaksanakan tugasan siasatan.

Beliau juga mengingatkan seluruh warga kerja raya, jabatan dan agensi supaya sentiasa memastikan integriti di tahap optimum dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna. Ketua-Ketua Jabatan dan Bahagian, sama ada di peringkat ibu pejabat, negeri atau daerah hendaklah meningkatkan pemantauan tingkah laku pegawai serta kakitangan dan memainkan peranan penting dalam usaha mencegah amalan rasuah di organisasi seliaan masing-masing.

Dalam majlis sambutan ini, beliau turut merasmikan perkhidmatan 'E-Aduan Integriti' dimana perkhidmatan ini merupakan satu inovasi Unit Integriti KKR sebagai medium aduan integriti yang mudah dicapai secara atas talian berbanding medium aduan yang lain dengan tidak mewajibkan maklumat pengadu. Unit Integriti KKR juga mengalu-alukan sebarang aduan integriti untuk dilaporkan melalui medium tersebut. Produk Inovasi ini juga turut meraih tempat ketiga di dalam pertandingan Anugerah Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) Peringkat KKR.

Antara pengisian lain semasa majlis ini ialah membuka reruai pameran yang disertai oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan diakhiri dengan sesi Forum Integriti yang membincangkan topik "Ku Temui Tuhan Di Penjara".

Semoga seluruh warga kerja raya, jabatan dan agensi dapat membawa KKR menuju ke arah KKR Berintegriti dan Bebas Rasuah dengan membudayakan konsep pencegahan, memelihara integriti ketika melaksanakan tugas atau tanggungjawab serta bersikap tegas menolak amalan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa pada setiap masa, dan tempat.