HARI KEBANGSAAN 2026 DISAMBUT MERIAH,PENUH SEMANGAT PATRIOTIK | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

HARI KEBANGSAAN 2026 DISAMBUT MERIAH,PENUH SEMANGAT PATRIOTIK

PUTRAJAYA – Lebih 100,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, sekali gus menzahirkan semangat patriotik dan cinta akan negara.

Bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026,“Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, sambutan tahun ini menekankan komitmen berterusan kerajaan dalam membina sebuah negara maju, harmoni dan sejahtera, tanpa mengira latar belakang.

Acara perbarisan dan perarakan pada tahun ini melibatkan 76 kontinjen, 22 kumpulan pancaragam dan 11 kereta berhias (float), dengan penglibatan 10,819 peserta yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, badan beruniform,syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi serta wakil masyarakat sivil. Buat julung kalinya, sambutan turut disertai Askar Timbalan Setia Negeri Johor, kontinjen Sukan SEA 2027 dan kontinjen kluster Kelestarian Ekonomi Jingga.

Sambutan turut diserikan dengan persembahan pergendangan “Gema InovasiMADANI”, iaitu gabungan Rebana Inovasi dan Kompang Inovasi, di samping pelbagai alat muzik tradisional lain yang mewakili komuniti dan wilayah di Malaysia.Persembahan ini melibatkan 150 peserta pergendangan dan 1,500 peserta grafik manusia mencerminkan kepelbagaian warisan seni dan budaya negara.

Sambutan dimeriahkan dengan persembahan skuadron pesawat pejuang,pengangkut dan helikopter oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Persembahan penutupan “Rentak MADANI, Paluan Tradisi” pula menghimpunkan 2,350 peserta gabungan Kumpulan Kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN),PERMATA Seni Tari, pelajar Kementerian Pendidikan (KPM), agensi dan jabatan kerajaan, syarikat seni serta badan bukan kerajaan (NGO) seni dan budaya. Turut membuat persembahan, penyanyi terkenal tanah air, Faizal Tahir yang menyanyikan lagu tema rasmi HKHM 2026, "Aku Berjanji".

Keberangkatan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahimdan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah,kehadiran YAB Perdana Menteri dan isteri, Timbalan Perdana Menteri, barisan Menteri Kabinet serta Duta dan Konsul Asing di Malaysia menambahkan lagi seri sambutan.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10