Langkau ke kandungan utama
1

Ucapan Tahun Baharu 2015 Menteri Kerja Raya

KUALA LUMPUR, 22 Januari – Warga Kerja Raya dan Agensi telah berkumpul bersama-sama bertujuan mendengar Ucapan Tahun Baharu 2015 yang disampaikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Yusof di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid hari ini.

Antara intipati ucapan tersebut adalah penghargaan terhadap pasukan Misi Bantuan Banjir dan Pasca banjir iaitu Pasukan Mercy KKR dan JKR beserta agensi lain, LLM dan CIDB  bersama-sama syarikat konsesi, kontraktor senggara yang telah menghantar barang dan bahan keperluan serta bergotong-royong membersihkan premis mangsa banjir sekitar Kelantan, Perak, Terengganu dan Pahang.

Turut menerima penghargaan adalah para petugas Pusat Pengurusan Bencana Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia yang bertugas 24 jam menyalurkan maklumat bencana seperti tanah runtuh, mendap dan rosak dengan dibantu pasukan Media Sosial KKR yang aktif menyebarluas maklumat tersebut kepada orang awam.

YB Menteri turut menyentuh perkembangan sektor pembinaan Negara, usaha pemantapan Akta Badan Profesional yang melibatkan Kementerian, kejayaan kontinjen Malaysia di ASEAN Skills Competition (ASC) ke-10 di Hanoi, Vietnam,  selain hasrat Kerajaan untuk melaksanakan Kutipan Tol Secara Elektronik sepenuhnya pada tahun 2018 di semua Lebuhraya Bertol.

Pada akhir ucapannya, Menteri Kerja Raya menyeru supaya semua warga Kerja Raya mengeratkan kerjasama, persefahaman dan menggembleng tenaga dalam merealisasikan segala perancangan yang telah dibuat bagi memastikan negara berada di atas landasan yang tepat dalam melaksanakan aspirasi nasional.

Tarikh Dan Waktu Acara