Langkau ke kandungan utama
1

Tinjauan Projek Membina Jalan Baru 4 Lorong dari Matang Ke Stapok, Kuching dan Projek Naiktaraf Jalan Batu 10 Ke Batu 15, Jalan Kuching / Serian, Kuching

KUCHING, 22 FEBRUARI 2018: Pembangunan infrastruktur di Sarawak sentiasa diberi perhatian oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya. Dalam memastikan projek – projek pembangunan ini dilaksanakan mengikut jadual, Menteri Kerja Raya Malaysia, YB Dato’ Sri Fadillah bin Haji Yusof telah melakukan lawatan kerja ke dua tapak projek di Kuching, Sarawak. Projek tersebut adalah “Projek Membina Jalan Baru Empat Lorong dari Matang ke Stapok, Kuching” dan “Projek Naiktaraf Batu 10 ke Batu 15, Jalan Kuching / Serian, Kuching”.

Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM145 juta untuk “Projek Membina Jalan Baru Empat Lorong dari Matang ke Stapok, Kuching” di mana projek ini bertujuan untuk membina jalan alternatif bagi menangani kesesakan lalulintas berikutan pembangunan pesat di Matang, Petra Jaya dan kawasan sekelilingnya. Projek ini dijangka siap pada pertengahan bulan Mac 2018 dengan status kemajuan fizikal terkini adalah 96.01%. Antara skop projek ini adalah membina dan menaiktaraf jalan berturap 4 lorong dua hala piawai U5 sepanjang 4.4 km dari bulatan Emart di Matang ke Jalan Temenggong Tan Meng Chong dan membina sebuah jambatan baharu merentasi Sungai Sarawak sepanjang 320 meter.

Bagi “Projek Naiktaraf Batu 10 ke Batu 15, Jalan Kuching/Serian” pula, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM84.5 juta bagi pelaksanaan projek ini. Jalan ini yang juga merupakan sebahagian dari jajaran Lebuh Raya Pan Borneo bakal dinaiktaraf daripada jalan dua lorong dua hala kepada jalan empat lorong dua hala dengan piawaian U5 sepanjang 9.2 km. Antara skop lain projek ini adalah penggantian lima (5) buah jambatan dan menaiktaraf lima (5) persimpangan utama. Projek ini dijangka siap pada penghujung bulan Mei 2018 dengan status kemajuan fizikal terkini adalah 82.98%. Dengan siapnya projek ini kelak, ia bakal memberi keselesaan dan kelancaran perjalanan bagi pengguna dari Bandaraya Kuching ke Bandar Serian.

Tarikh Dan Waktu Acara