Langkau ke kandungan utama
0

Tinjauan Pasca Banjir Ke Jalan Persekutuan Johor Yang Terjejas

Kota Tinggi, Johor, 20 Januari 2024 – Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah meninjau beberapa lokasi di laluan Jalan Persekutuan di negeri Johor yang telah rosak dan terjejas akibat bencana Monsun Timur Laut yang melanda negara baru-baru ini. Berikutan amaran dari Jabatan Meteorologi Malaysia pada 4 Januari lalu, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengeluarkan arahan untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan di kawasan yang berisiko. Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) juga telah mengeluarkan Notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana bagi negeri yang terlibat dan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah.

Pada 5 Januari 2024, pengaktifan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri Johor bagi siri Monsun Timur Laut 2023/2024 telah dibuka dan melibatkan 7 daerah yang terjejas iaitu Kota Tinggi, Mersing, Kluang, Kulai, Segamat, Batu Pahat dan Pontian. Terdapat 55 pusat pemindahan dibuka dan beroperasi pada 10 Januari 2024, namun kini telah beransur pulih dan masih berbaki sebanyak 3 pusat pemindahan yang masih aktif iaitu di daerah Segamat dan Batu Pahat.

Susulan daripada bencana yang berlaku telah mengakibatkan beberapa jaringan Jalan Persekutuan telah mengalami kerosakan permukaan pavemen, kerosakan jambatan, jaringan jalan terputus (tenggelam) serta berlaku keruntuhan cerun. Secara keseluruhan, terdapat sebanyak 10 laluan persekutuan telah terjejas dan mengalami kerosakan diantaranya ialah FT3 (Jalan Johor Bahru-Endau), FT91 (Jalan Kota Tinggi-Kluang), FT50 (Jalan Batu Pahat-Mersing), FT99 (Jalan Lok Heng) dan lain-lain.

Bagi mengatasi masalah tersebut, keseluruhan peruntukan yang diperlukan bagi kerja-kerja pembaikan turapan adalah sebanyak RM21.2 juta, kerja menaiktaraf longkang dan pembentung sebanyak RM7.950 juta, Jambatan RM1.6 juta dan kerja-kerja pembaikan cerun adalah sebanyak RM27.315 juta.

Melalui kerja pembaikan ini, ia bakal meningkatkan tahap keselamatan dan kelancaran pengguna jalan raya. Ini selaras dengan semangat dan aspirasi Kempen MyJalan, Kementerian Kerja Raya yang komited untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam mengatasi isu – isu berkaitan penyenggaraan jalan raya pasca banjir terutamanya apabila melibatkan Jalan Persekutuan.

Tarikh Dan Waktu Acara