Langkau ke kandungan utama
1

Taklimat Media - Pelaksanaan Sistem Kutipan Tol Elektronik 100% di Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau

PETALING JAYA, 25 Ogos – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengadakan sesi taklimat kepada media berhubung pelaksanaan sistem kutipan tol secara elektronik 100 peratus di Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau yang akan dilaksanakan bermula 1 September 2014.

Bermula pada tarikh tersebut, semua transaksi tol di Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di Lebuhraya Persekutuan Laluan 2 akan dikendalikan sepenuhnya secara elektronik sama ada menerusi kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go atau SmartTAG.

Pelaksanaan sistem ini merupakan salah satu inisiatif untuk mengatasi masalah kesesakan disebabkan oleh pengguna yang beratur untuk membayar tol secara tunai di kedua-dua plaza tol tersebut.

Secara umumnya, lorong elektronik Touch ‘n Go dan SmartTAG berupaya mengendalikan 550 dan 1,000 transaksi tol dalam masa satu jam berbanding Lorong Tunai yang berupaya mengendalikan 400 transaksi tol dalam tempoh yang sama.

Sebagai persediaan, orang ramai berpeluang mendapatkan kad PLUSMiles Touch ‘n Go (dengan nilai pra bayar RM5) dengan harga promosi RM5 di lorong-lorong tambah nilai dan Pusat Khidmat Pelanggan yang beroperasi di kedua-dua plaza tol terbabit sehingga 30 November ini.

Taklimat yang diadakan di Dewan Bankuet, Persada PLUS ini telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Dato’ Ir Hj Ismail Md Salleh dan Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Dato’ Noorizah Hj Abd Hamid.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita