Langkau ke kandungan utama
1

Sistem Undi Kerja-Kerja Penyenggaraan Jalan Persekutuan

JOHOR BAHRU, 5 Jun – Kerja Undi Penyenggaraan Jalan Persekutuan tahun 2014 telah dilaksanakan secara serentak di seluruh Malaysia hari ini dengan kos berjumlah RM28 juta untuk 581 projek. Dari jumlah tersebut sebanyak 412 projek adalah di Semenanjung dengan kos RM20 juta, manakala 81 projek di Sarawak dan 88 projek di Sabah dengan kos masing-masing RM4 juta.

Pada majlis kerja undi yang diadakan di Jabatan Kerja Raya Johor Bahru ini, Menteri Kerja Raya, YB Datuk Haji Fadillah bin Haji Yusoff selaku perasmi majlis berkata, pada tahun ini, sebanyak RM1,037 juta diperuntukkan bagi menyenggara jalan Persekutuan seluruh Negara. “Sebanyak RM409 juta diperuntukkan bagi kerja rutin manakala sebanyak RM628 juta untuk kerja berkala.

Bagi Semenanjung, peruntukan adalah sebanyak RM326 juta manakala untuk Sabah, Sarawak dan Labuan sebanyak RM302 juta,” katanya lagi.

Tujuan utama kerja undi ini adalah untuk membuka peluang kepada kontraktor kecil untuk sama-sama terlibat dalam kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan. Sebanyak tiga peringkat kerja undi telah dilaksanakan sejak tahun 2012. Peringkat pertama telah diadakan pada 16 Julai 2012 di Alor Setar Kedah (204 projek, kos RM37.4 juta), peringkat ke-2 pula, di Ipoh Perak pada 19 November 2012 (278 projek, kos RM52 juta) dan peringkat ke-3 telah diadakan pada 14 Februari 2013 di Kuantan Pahang (262 projek, kos RM18 juta). Kesemua projek-projek ini telah siap sepenuhnya.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita