Langkau ke kandungan utama
0

Sesi Taklimat Dan Tinjauan Menteri Kerja Raya Ke Projek Setiawangsa - Pantai Expressway (SPE)

Kuala Lumpur, 25 Oktober 2023 - Hari ini telah berlangsung sesi taklimat projek dan tinjauan Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi ke Projek Setiawangsa - Pantai Expressway (SPE) atau dikenali sebagai DUKE 3.

Sesi taklimat telah berlangsung di Wisma Ekovest Bhd dan seterusnya Menteri Kerja Raya telah dibawa untuk meninjau ke 4 lokasi projek lebuh raya tersebut iaitu di:

1. Seksyen 2 – Bandar Malaysia

2. Seksyen 1 - Ramp Taman Desa

3. Seksyen 3 – Ramp SPE ke AKLEH

4. Seksyen 4 - Bangunan Fasiliti SPE

Lebuhraya SPE merupakan lebuh raya bertingkat ‘dual 3 lane carriageway’ dengan jarak keseluruhan sepanjang 20.7 km. Jajaran lebuh raya ini terbahagi kepada 4 Seksyen iaitu Seksyen 1 (Kerinchi-Salak), Seksyen 2 (Salak-Pandan), Seksyen 3 (Pandan-Setiawangsa) dan Seksyen 4 (Setiawangsa-Taman Melati). Ianya dilengkapi dengan 7 persimpangan bertingkat dan 3 susur keluar/masuk. Ia juga merupakan lebuh raya bertingkat terpanjang di Malaysia.

Menteri Kerja Raya turun padang untuk meninjau kemajuan baki kerja pembinaan Lebuhraya SPE. Semasa sesi lawatan kerja, delegasi Kementerian telah diberikan taklimat oleh pihak syarikat berkaitan status kemajuan terkini pembinaan lebuh raya bagi Seksyen 1, 2 dan 3 sepanjang 16.3 km. Manakala Seksyen 4 sepanjang 4.4 km melibatkan jajaran dari Taman Melati ke Setiawangsa telah pun dibuka pada 21 Disember 2021 yang lalu.

Lebuh raya ini sudah 99 peratus siap, namun beberapa fasiliti seperti kemudahan tandas awam, lampu jalan yang melibatkan bekalan elektrik serta sistem kutipan tol masih dalam proses persiapan akhir. SPE dijangka akan dibuka secara rasmi kepada umum pada 1 November, 2023.

Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama-sama agensi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sentiasa meletakkan keutamaan dalam memberikan kemudahan infrastruktur jalan raya kepada pengguna, namun tidak akan berkompromi dengan faktor keselamatan pengguna jalan raya.

Atas dasar itu, KKR telah mengarahkan syarikat konsesi untuk memastikan setiap faktor, spesifikasi dan kemudahan di laluan ini hendaklah dipastikan lengkap dan sempurna sepenuhnya. Ini selari dengan semangat kempen MYJalan yang memfokuskan kepada keselesaan pengguna jalan raya.

Pembinaan infrastruktur ini adalah seiring dengan inisiatif KKR dan LLM untuk menyediakan infrastruktur berkelas dunia bagi penduduk Kuala Lumpur sekitarnya, malah turut membantu menyuraikan trafik dan menyediakan rangkaian ke kawasan baharu dengan lebuh raya sedia ada.

Tarikh Dan Waktu Acara