Langkau ke kandungan utama
0

Sesi Penjurian Program Keceriaan Antara Kementerian Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2023

KUALA LUMPUR, 15 OGOS 2023 Hari ini telah berlangsung sesi penjurian Program Keceriaan Antara Kementerian Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2023 di Kementerian Kerja Raya yang telah dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Bin Haji Ahmad bersama Timbalan Ketua Setiausaha Sektor Pengurusan, YBhg. Dato’ Ahmad Nadzri Bin Embong.

Panel penilai bagi program ini adalah Pengarah Kanan Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia, Dr. Noor Azizi Bin Mohd Ali, Timbalan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Jabatan Penerangan Malaysia, Encik Mohd Taufik Bin Abdul Jalil dan Penolong Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Encik Mohd Rizal Bin Mohd Hamdan.

Para panel telah disambut oleh warga KKR di Lobi Blok A dan seterusnya ke Bilik Tanjung untuk sesi Pembukaan Penilaian bersama-sama dengan Ketua Setiausaha dan Timbalan Ketua Setiausaha Sektor Pengurusan Kementerian Kerja Raya. Para panel juga telah dibawa untuk melawat aras pejabat yang terpilih iaitu Bahagian Akaun dan Sudut Merdeka di Lobi Blok A.

Program Keceriaan Antara Kementerian Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Tahun 2023 bertujuan untuk memberi galakkan dan peluang kepada penjawat awam untuk mempamerkan rasa cinta dan patriotik kepada negara selain menerapkan semangat berpasukan. Setiap kementerian dinilai berdasarkan tiga aspek iaitu kreativiti, daya cipta dan nilai tambah yang digabungkan dalam hiasan bertemakan Hari Kebangsaan di premis kementerian dan ruang pejabat masing-masing.

Semoga usaha yang ditunjukkan oleh warga KKR melalui program ini dapat menyemarakkan semangat patriotisme untuk sambutan Hari Kebangsaan dan dapat meningkatkan nilai kerjasama semua warga di setiap peringkat.

Tarikh Dan Waktu Acara