Langkau ke kandungan utama
0

Semua Lebuh Raya Bersedia Menghadapi Peningkatan Trafik Sempena Perayaan Aidil Adha.

Dengkil, 28  Jun 2023 – Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah meninjau persiapan dan persediaan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bersama syarikat  konsesi lebuh raya dalam menghadapi peningkatan trafik sempena musim Perayaan Aidil Adha. Tinjauan tersebut dilakukan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil (Arah Selatan). Turut hadir dalam tinjauan tersebut, Pengerusi LLM YB Datuk Seri Jalaluddin Alias serta Ketua Pengarah LLM Ir. Sazali bin Harun dan Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad Datuk Nik Airina Nik Jaffar.

Pihak LLM telah menjangkakan jumlah purata peningkatan trafik harian di seluruh lebuh raya mampu mencecah sehingga 5.1 juta transaksi kenderaan. Pertambahan jumlah kenderaan ini dijangkakan bermula 27 Jun 2023 sehingga 3 Julai 2023.

Daripada jumlah tersebut, purata harian trafik di Lebuhraya Utara Selatan dijangka akan mencapai sehingga 2 juta kenderaan, manakala di Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1, dijangkakan purata kenderaan mencecah sehingga 170 ribu dan 60 ribu kenderaan sehari.

Kementerian Kerja Raya (KKR) dan LLM telah bersedia sepenuhnya untuk memastikan kelancaran trafik di lebuh raya, yang mana syarikat konsesi lebuh raya telah diarahkan untuk mengambil Langkah-langkah proaktif bagi meminimumkan kesan negatif peningkatan trafik iaitu:

  1. Mengarahkan syarikat konsesi untuk memastikan tiada kerja kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang melibatkan penutupan lorong lebuh raya bermula 24 Jun 2023 hingga 3 Julai 2023;
  2. Mengeluarkan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi pengguna Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 bagi membantu pengguna merancang perjalanan;
  3. Mengaktifkan laluan ‘smart lane’ atau laluan kontra di beberapa lokasi berdasarkan keperluan dan kesusaian bagi menambah kapasiti dan melancarkan trafik
  4. Meningkatkan pengurusan pengoperasian dan menambah sehingga 20% petugas lebuh raya seperti anggota peronda, petugas di plaza tol dan anggota RELA;
  5. Memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol, selain menempatkan petugas untuk memberi bantuan kepada pengguna yang bermasalah.
  6. Memastikan syarikat konsesi menyediakan anggota Emergency Response Team (ERT) yang secukupnya bagi mempercepatkan tempoh tindakan menangani sebarang insiden yang berlaku di lebuh raya’
  7. Menyediakan jentera seperti kembalik dan kren di beberapa lokasi terpilih untuk membantu sekiranya waktu berlaku sebarang insiden kemalangan.
  8. Menyediakan kemudahan tambahan bagi tempat letak kereta dan tandas mudah alih di beberapa kawasan rehat dan rawat (R&R) di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya KL Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1;
  9. Menambah bilangan petugas untuk memastikan kebersihan tandas dan bekalan air di R&R serta bekalan minyak di stesen-stesen minyak mencukupi; dan
  10. Memastikan Papan Tanda Elektronik atau Variable Messaging System (VMS) Kamera Keselamatan Litar Tertutup (CCTV) beroperasi dan berfungsi dengan baik.

 

Pusat Pengurusan Trafik (TMC), LLM beroperasi 24 jam pada 28 Jun 2023 dan 2 Julai 2023 telah membantu pengguna lebuh raya mendapatkan maklumat trafik terkini. Status trafik juga dikemaskini di media sosial rasmi LLM dan Syarikat Konsesi seperti di Facebook rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Twitter @llmtrafik bagi kemudahan pengguna. Selain itu, pengguna juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik, LLM di talian 1–800–88–7752.

Pihak KKR dan LLM menasihatkan pengguna lebuh raya supaya mengikuti TTA yang dicadangkan, mematuhi segala peraturan lalulintas yang ditetapkan, memandu secara berhemah untuk sampai ke destinasi dengan selamat dan memastikan kenderaan dalam keadaan yang baik untuk perjalanan yang jauh.

Tarikh Dan Waktu Acara