Langkau ke kandungan utama
0

Sambutan Hari Psikologi Kementerian Kerja Raya 2023

Kuala Lumpur, 26 Oktober 2023 – Telah berlangsung Sambutan Hari Psikologi KKR 2023 sempena Minggu Kesihatan Minda KKR di Bilik Tanjung, Blok A, Aras 6, Kompleks Kementerian Kerja Raya (KKR). Majlis ini merupakan anjuran Cawangan Pengurusan Psikologi, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM). Majlis ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Abdul Rahman Bin Mohamad. Turut hadir bersama-sama adalah Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir. Ahmad Redza Bin Ghulam Rasool, Timbalan Ketua Setiausaha Dasar KKR,  Dato’ Zahrul Hakim Bin Abdullah, Naib Canselor UKM, YBhg. Prof. Dato’ Gs. Ts Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Ir. Sazali Bin Harun, Ketua Eksekutif CIDB Dato’ Sr. Mohd Zaid Zakaria, Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam, Ybrs. Dr Abd Jalil bin Hassan dan Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar UKM.

Penganjuran Hari Psikologi KKR pada tahun ini adalah antara yang terbesar dalam sejarah penganjurannya dengan melibatkan 19 agensi pemberi perkhidmatan dan pameran yang akan dijalankan serentak di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid serta kolaborasi strategik KKR bersama UKM yang akan dimeterai dengan perjanjian MOU. Sambutan Hari Psikologi KKR pada tahun ini bertemakan “ATMA KEHIDUPAN” yang membawa maksud “Jiwa“ atau “Nyawa” yang merupakan asas kepada setiap kehidupan dalam mencapai kesejahteraan dan kehidupan yang baik serta positif.

“ATMA KEHIDUPAN” yang mencakupi empat elemen iaitu Kepelbagaian, Kesihatan, Kasih Sayang serta Keseimbangan merupakan komponen yang saling melengkapi dalam melahirkan penjawat awam yang sejahtera dari segi Emosi, Fizikal, Mental sekaligus boleh menyumbang kepada peningkatan prestasi seterusnya produktiviti ke arah penyampaian perkhidmatan yang cemerlang.

Dalam majlis yang sama, YB Timbalan Menteri Kerja Raya menyampaikan Anugerah AKRAB Unggul Kerja Raya 2023 serta Lafaz Ikrar AKRAB Baharu Kerja Raya 2023. Perkhidmatan Psikologi yang berkesan akan memberi impak signifikan kepada peningkatan tahap kestabilan emosi dan motivasi warga KKR. Pelbagai aktiviti menarik semasa Sambutan Hari Psikologi KKR 2023 tadi antaranya Ceramah  Keluarga XY ; Di Manakah Kita?, Pertandingan Sudip Emas KKR, Program Derma Darah, serta Pameran Mata Wang oleh BNM.

Cawangan Pengurusan Psikologi (CPPs), BPSM seringkali menerima lawatan penanda aras bagi Perkhidmatan Psikologi Sumber Manusia dari pelbagai Kementerian dan Agensi Awam termasuklah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Semoga dengan penganjuran Hari Psikologi ini akan dapat memperkukuh potensi diri penjawat awam di KKR dan Agensi bagi menjayakan agenda Malaysia MADANI melalui pembudayaan nilai murni ke arah penyampaian perkhidmatan yang cemerlang.

 

Tarikh Dan Waktu Acara