Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

0

Kuala Lumpur, 7 Disember 2023 - Program Penambahan Tempat Berteduh Penunggang Motosikal (Motorcycle Shelter) di Lebuh Raya telah disenaraikan di bawah Inisiatif Bitara MADANI dan dilaksanakan demi kesejahteraan para penunggang motosikal. la merupakan satu inisiatif Kerajaan bertujuan untuk memastikan keselamatan golongan 'vulnerable' ketika mereka berteduh semasa cuaca buruk.

Hari ini Menteri Kerja Raya, YB Dato' Sri Alexander Nanta Linggi bersama-sama Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), YB Datuk Seri Utama Ir. Hasni Bin Mohammad, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Pengarah LLM, YBrs. Ir. Sazali Harun, Presiden Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM), YBhg. Datuk Ir. Zakaria Ahmad Zabidi serta pegawai kanan KKR, LLM, PSKLM dan Syarikat Konsesi lebuh raya telah turun padang melawat salah satu lokasi tambahan di KM 11, Lebuhraya Baru Pantai (NPE) bagi meraikan pencapaian penyiapan 40 lokasi teduhan penunggang motosikal yang dijanjikan pada tahun 2023. Sasaran bagi penyiapan 40 lokasi tersebut telah dicapai dalam tempoh 5 bulan sahaja dengan komitmen tinggi syarikat-syarikat konsesi yang diterajui oleh LLM.

Sejajar dengan semangat kempen MYJalan yang memberi penekanan kepada kesejahteraan rakyat, KKR bersama-sama LLM terus mengembangkan lagi inisiatif menambah tempat teduhan motosikal di lokasi terpilih di lebuh raya. Kesemua lokasi baru tempat teduhan motosikal ini merupakan tambahan kepada 353 lokasi sediada yang juga akan ditambahbaik dari sudut keselesaan dan keselamatan.

Inisiatif di bawah lembayung Bitara MADANI ini melibatkan 119 lokasi di seluruh negara dan telah bermula sejak Ogos tahun ini. Cadangan penambahan lokasi motorcycle shelter baharu di sepanjang lebuh raya telah dikenalpasti bersama-sama syarikat-syarikat konsesi perlu disediakan dalam tahun 2023 dan 2024. Usaha berterusan akan digembeleng untuk penyiapan tempat teduhan penunggang motosikal di 79 lokasi lain pada tahun 2024.

KKR dan LLM komited di dalam meningkatkan kualiti, kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat diberi keutamaan. KKR, LLM dan syarikat konsesi lebuh raya menyahut inisiatif Bitara MADANI dengan memastikan infrastruktur yang dibina sepanjang lebuh raya dapat memberikan keselesaan dan keselamatan kepada semua kategori pengguna lebuh raya.

0

Putrajaya, 4 Disember 2023 –Telah berlangsung Majlis Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2023 yang telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia bertempat di Dewan Damar Sari 1, Putrajaya.

HPTN telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada Oktober 2018 untuk diadakan secara tahunan pada setiap Sabtu pertama bulan Disember. Acara kemuncak HPTN tahun ini berlangsung selama dua (2) hari bermula pada 4 Disember hingga 5 Disember 2023. Objektif utama penganjuran sambutan HPTN adalah sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan atas jasa yang disumbangkan oleh para profesion teknikal dalam landskap pembangunan negara. Tema sambutan HPTN tahun ini adalah “Profesion Teknikal Pemacu Pembangunan Malaysia MADANI”, selaras dengan hasrat negara untuk mencapai status negara maju di masa hadapan.

Sebagai sebuah negara yang pesat membangun, Malaysia memerlukan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang teknikal, khususnya bagi membantu mencorakkan pembangunan dan pemodenan negara, demi kesejahteraan dan keselesaan negara bangsa.

Pelbagai aktiviti menarik, pameran ilmiah dan peluang kerjaya turut didedahkan kepada semua peringkat umur sepanjang program ini berlangsung. Antaranya:

i. Mengadakan 14 siri perkongsian ilmu yang merangkumi pelbagai topik-topik berkaitan profesion teknikal sama ada melalui sesi wacana, webinar dan bicara teknikal.

ii. Pelaksanaan lima (5) program libat urus / Corporate Social Responsibility (CSR) Fokus pengisian program ini adalah untuk memperkenalkan kejuruteraan kepada pelajar sekolah terutamanya pelajar tingkatan 5 yang akan ke menara gading;

iii. Pemberian tiga (3) Anugerah Profesion Teknikal/ Industri

a. Anugerah Kecemerlangan Inovasi Kejuruteraan 2023

b. Anugerah Tokoh Muda Kejuruteraan Negara 2023

c. Anugerah Tokoh Kejuruteraan Negara 2023

iv. Lapan (8) acara pertandingan dan sukan

Acara pertandingan STEM di sekolah-sekolah dan aktiviti sukan secara umumnya diadakan untuk memupuk minat kepada generasi muda menceburi profesion teknikal sebagai pilihan kerjaya;

v. Karnival Kerjaya

Sempena HPTN 2023, Syiling Peringatan 150 Tahun JKR Malaysia telah dilancarkan hasil kolaborasi JKR Malaysia bersama Bank Negara Malaysia. Syiling Peringatan ini diilhamkan daripada sumbangan besar JKR Malaysia kepada pembangunan infrastruktur dan pemodenan negara.

Selain itu, turut diadakan penyerahan dokumen Prakarsa Pemartabatan Profesion Teknikal Negara 2023-2027 kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Dokumen ini disediakan bagi memastikan pelaksanaan HPTN yang lebih teratur dan komprehensif dari segi pengisiannya dalam tempoh lima (5) tahun akan datang.

Sebanyak 41 reruai pameran sedia untuk dilawati oleh orang ramai yang ingin menimba ilmu berkaitan bidang teknikal dan industri kejuruteraan. Dua (2) pempamer platinum yang turut serta dalam pameran ini ialah American Air Filter Manufacturing Sdn Bhd. dan Panasonic Air-Conditioning Malaysia (PACMY).

Untuk maklumat lanjut mengenai sambutan HPTN 2023, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi www.hptn-my.com/. Pelbagai maklumat terperinci mengenai sambutan ini boleh didapati melalui laman web tersebut.

0

Kuala Lumpur, 4 Disember 2023 – Telah berlangsung Majlis Anugerah Media Pembinaan CIDB 2023 (AMP 2023) di World Trade Centre, Kuala Lumpur. Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah meraikan kecemerlangan 17 wartawan dan jurugambar yang merupakan penganjuran kali pertama diadakan semenjak berakhirnya pandemik. Penyampaian anugerah ini telah disampaikan oleh Menteri Kerja Raya (KKR) YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Anugerah Media Pembinaan (AMP) tahun ini merupakan kali ke-enam dianjurkan oleh CIDB Malaysia bersama Kementerian Kerja Raya (KKR). Anugerah ini memberi penghargaan kepada media yang telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran mengenai inisiatif-inisiatif Kerajaan Malaysia dalam industri pembinaan.

Objektif AMP adalah menggalakkan kandungan kewartawanan dan media massa mengenai industri pembinaan. Ini termasuk kandungan yang mengupas isu semasa berkaitan industri pembinaan seperti keselamatan, kelestarian alam sekitar, penggunaan teknologi serta topik-topik lain yang berkaitan.

Harian Metro menerusi wartawannya Mohd Alhafiz bin Ithnin telah memenangi tempat pertama dalam kategori Media Cetak & Portal Berita, dengan penulisan bertajuk 'Mengurus Sisa Binaan, Denda RM10,000 Menanti, Terus Promosi Pembangunan Mampan Dalam Sektor Pembinaan'.

Tempat pertama dalam kategori Media Penyiaran Televisyen & Video Dalam Talian dimenangi oleh wartawan TV3, Irin Putri Azmi menerusi liputannya, 'Majalah 3 - Misi: Kembalikan Kuasa Kenyir'. Manakala, tempat pertama dalam kategori Fotografi dimenangi oleh Abdul Razak bin Abdul Latif, jurufoto The Vibes, dengan gambarnya yang bertajuk 'Labour shortage, weaker ringgit still plaguing construction industri'.

Buat pertama kalinya Anugerah Infografik diperkenalkan dalam AMP. Tempat pertama bagi kategori ini adalah Mohd Alhafiz bin Ithnin dan Mohd Fahmy bin Mohd Hashim dari Harian Metro dengan tajuk "Pemuliharaan Stadium Merdeka". Buat pertama kalinya juga AMP tahun ini memberikan hadiah saguhati kepada semua kategori anugerah kecuali bagi Anugerah Media Penyiaran Televisyen & Video Dalam Talian, pemenang membawa balik wang saguhati bernilai RM1,000 berserta sijil. Kesemua pemenang masing-masing membawa pulang wang tunai berserta sijil dan trofi.

KKR ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah dan syabas kepada pemenang-pemenang. Semoga penghargaan ini dapat menaikkan semangat rakan-rakan media dalam menyediakan kandungan-kandungan yang komprehensif dan bermanfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.

0

Kuching, 3 Disember 2023 – Telah berlaku lawatan kerja ke Lebuhraya Pan Borneo oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR) YBhg Datuk Seri Haji Hasnol Haji Zam Zam bagi meninjau kerja-kerja pembinaan kawasan hentian sebelah yang sedang dibina bagi kemudahan pengguna-pengguna kerja raya. Turut hadir bersama-sama dalam lawatan ini ialah Timbalan Ketua Setiausaha Sektor Dasar dan Pembangunan KKR YBhg. Datuk Zahrul Hakim Bin Abdullah.

Sebanyak tiga pembinaan Kawasan Hentian Rehat dan Rawat dan lima buah hentian sebelah akan dibina sepanjang jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak. Pembangunan Lebuhraya Pan Borneo telah menjadi satu proses pembelajaran bagi kerajaan Sarawak dalam perancangan pembangunan infrastruktur lain di negeri itu.

Jajaran lebuh raya Pan Borneo telah mecapai 98 peratus siap di mana 19 seksyen daripada 23 seksyen daripada kerja lebuh raya itu telah disiapkan, dengan seksyen lain akan disiapkan secara berperingkat pada suku pertama tahun 2024.

Lawatan kerja ini berakhir di titik permulaan jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak iaitu di Kilometer Zero, Telok Melano. KKR sebagai peneraju pembangunan infrastruktur dan industri pembinaan negara sentiasa cakna dan progresif dalam memperkasakan pembangunan infrastruktur demi kemudahan rakyat.

0

Putrajaya, 1 Disember 2023 – Setelah selesai mesyuarat Post-Kabinet, telah berlangsung Sesi Penyerahan Plak dan Sijil Penghargaan Pengiktirafan Lima Bintang dalam Program Keceriaan antara Kementerian sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Tahun 2023. Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah menyerahkan Plak dan Sijil tersebut kepada Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Haji Zam Zam yang bertempat di Bilik Persidangan Ziyad Ibn Abih Aras 8, Blok F7, Jabatan Kerja Raya (JKR) Putrajaya.

Tahniah dan syabas kepada seluruh warga kerja KKR dan agensi kerana pada tahun ini KKR sekali lagi telah diberikan penarafan lima bintang dalam Program Keceriaan Antara Kementerian sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Tahun 2023.

Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 yang telah disempurnakan oleh Menteri Komunikasi Dan Digital, YB Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, pada 28 November yang lalu menyaksikan KKR adalah antara 19 Kementerian yang diberikan penarafan lima bintang daripada keseluruhan 25 Kementerian.

Warga KKR dari semua Bahagian dan Unit serta JKR, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah berganding bahu mempamerkan rasa cinta dan patriotik kepada negara melalui semangat berpasukan yang tinggi dinilai berdasarkan tiga aspek iaitu kreativiti, daya tarikan dan nilai tambah yang digabungkan dalam hiasan bertemakan Hari Kebangsaan di premis KKR dan ruang pejabat masing-masing.

Ucapan Selamat Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 yang dipaparkan di Variable Message Sign (VMS) di seluruh lebuhraya di bawah Lembaga Lebuhraya Malaysia turut menyemarakkan semangat patriotik di kalangan rakyat Malaysia.

0

Shah Alam, 29 November 2023 – Telah berlangsung sesi Townhall Rakyat Sinar Harian Bersama Menteri Kerja Raya (KKR), YB Dato Seri Alexander Nanta Linggi di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam. Antara tekad yang ditekankan oleh YB Menteri Kerja Raya adalah fokus beliau secara keseluruhan untuk menangani infrastruktur jalan raya Malaysia.

Turut hadir sama ialah YBhg. Datuk Seri Hj Hasnol Zam Zam, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan KKR, YBrs. Tuan Mohd Sakeri Abdul Kadir, Timbalan Ketua Setiausaha Dasar dan Pembangunan KKR, YBhg. Datuk Zahrul Hakim Abdullah, Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg Dato' Ir Ahmad Redza Ghulam Rasool serta Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, YBrs. Tuan Sazali Harun.

Antara perkara-perkara yang diketengahkan dalam sesi Townhall ini adalah Jalan Raya tanggungjawab bersama, MyJalan merupakan aplikasi aduan yang memudahkan pengguna dan penunggang motosikal sentiasa menjadi keutamaan. YB Menteri Kerja Raya juga berkesempatan menjawab soalan-soalan daripada penonton mengenai pemantauan Jabatan Kerja Raya (JKR) terhadap kualiti jalan yang diturap.

YB Menteri Kerja Raya menerangkan bahawa Konsep Kempen MyJalan ini bahawa pemahaman tanggungjawab kita untuk menjaga harta bersama. Jalan raya bukan hanya diletakkan di bawah JKR sahaja. Punca utama berlaku kerosakan jalan terutamanya jalan berlubang disebabkan kenderaan yang membawa muatan lebih.

KKR melalui JKR sedang mempergiatkan pembinaan tempat berteduh untuk penunggang motosikal dibina di lebuh raya seluruh negara di bawah Inisiatif Bitara Malaysia Madani: Kementerian Kerja Raya demi keselamatan pengguna-pengguna jalan raya. Pada masa hadapan, dicadangkan untuk meletakkan syarat wajib untuk membina lorong motosikal bagi setiap pembinaan lebuh raya baharu, walaupun ia akan memberi implikasi yang besar terhadap kos, tetapi isu nyawa dan keselamatan harus dititikberatkan.

KKR sentiasa cakna akan keperluan semasa pengguna jalan raya dan mengambil segenap inisiatif dalam memastikan bahawa keselamatan dan keselesaan sentiasa diutamakan.

 

0

Putrajaya, 28 November 2023 - MAMPU buat pertama kali mengadakan Majlis Pentauliahan Champion myPortfolio bagi 107 orang Champion myPortfolio Sektor Awam daripada 49 buah agensi kerajaan dari pelbagai Kementerian, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, INTAN dan Jabatan seluruh Negara yang berjaya melepasi peperiksaan yang ditetapkan dengan markah lulus sebanyak 90% bertempat di Pulse Grande Hotel Putrajaya pada 16 November 2023 dan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (TPP) MAMPU, YBrs. Tuan Lornie Enggong.

Kementerian Kerja Raya (KKR) telah berjaya memperoleh pentauliahan bagi dua (2) pegawai daripada Bahagian Khidmat Pengurusan iaitu Puan Suhana Md Sharif dan Lt. Kol. Bersekutu (PA) Ali bin Isa. Penilaian pentauliahan merangkumi 30% peperiksaan bertulis, 30% simulasi pemberian latihan yang dinilai oleh panel MAMPU serta INTAN, 15% penilaian EPSA dan 20% latih amal dan 5% kehadiran. 

Anugerah Champion Terbaik merupakan satu-satunya anugerah utama yang diberikan kepada seorang penerima daripada 113 penerima pentauliahan dan dianugerahkan kepada Bahagian Khidmat Pengurusan, Kementerian Kerja Raya iaitu Lt. Kol. Bersekutu (PA) Ali bin Isa. Penerima menerima Sijil Anugerah dan Plak. Tahniah kepada Bahagian Khidmat Pengurusan, Kementerian Kerja Raya.

0

Sadao, Thailand, 27 November 2023 - Inisiatif jalan baharu yang menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam ke ICQS Sadao Baharu dijangka akan direalisasikan dalam jangka masa yang terdekat berikutan Lawatan Kerja Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke ICQS Sadao pada 27 November 2023 atas jemputan rasmi Tuan Yang Terutama (TYT) Srettha Thavisin, Perdana Menteri Thailand.

Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Thailand telah bersetuju secara dasarnya berhubung jajaran rekabentuk dan isu teknikal yang berkaitan, agar projek ini dapat dilaksanakan bagi memastikan tahap kesaling hubungan antara kedua-dua negara dapat ditingkatkan.

Jaringan jalan penghubung ini terdiri daripada satu jalan utama 6 lorong 2 hala (K3-3) sepanjang 900meter dengan piawaian U5, dan Jalan Khidmat sepanjang 300 meter. Projek jalan ini juga melibatkan pengambilan tanah, perobohan dan pembinaan baharu Blok Asrama Kem Regimen Sempadan (5RS) serta beberapa struktur keselamatan lain seperti Pos Kawalan Akhir dan Pagar Keselamatan yang terkesan daripada jajaran jalan ini.

Kementerian Kerja Raya yakin dengan terbinanya jajaran baharu ini, keselesaan dan keselamatan pengguna dapat ditingkatkan. Pada masa yang sama, jalan baharu ini dijangka akan meningkatkan kegiatan ekonomi kedua-dua negara.

0

Bentong, 27 November 2023 - Petang tadi Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kerja Raya (KKR), YBhg Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam bin Haji Ahmad telah turun padang untuk membuat lawatan pemantauan kerja-kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan FT68 iaitu Jalan Bentong Lama di Seksyen 47.00 hingga 49.00.

Lawatan ini diadakan bagi memantau pelaksanaan kerja penyenggaraan berkala pavemen fasa 1 tahun 2023 yang dilaksanakan secara kaedah reconstruction, mill & pave dan lain-lain kerja berkaitan dengan kos peruntukan berjumlah RM1 juta.

Datuk Seri KSU turut meninjau kawasan tanah runtuh di Seksyen 43.00 laluan yang sama berikutan kejadian kepala air yang berlaku pada 25 November 2023. Laluan tersebut telah mengalami kerosakan pada struktur dan ditutup sehingga 1 Disember 2023 kepada sebarang kenderaan demi keselamatan pengguna jalan.

KKR sentiasa cakna akan kepentingan dan keselesaan pengguna jalan raya di Malaysia. Orang awam disaran mengemukakan sebarang aduan jalan melalui Aplikasi MyJalan KKR yang boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Playstore, Apple App Store, Huawei App Gallery dan GAMMA.my.

0

Pulau Pinang, 26 November 2023 – Susulan tinjauan ke lokasi tanah runtuh Laluan FT006 Jalan Balik Pulau – Teluk Bahang, Daerah Barat Daya, Pulau Pinang pada 27 Julai 2023 yang lalu, Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi sekali lagi meninjau hasil kerja - kerja pembaikan yang telah dilaksanakan.

Terdapat tiga (3) lokasi tanah runtuh iaitu di Seksyen 40.9, 45.4 dan 46.8 berpunca daripada hujan lebat yang berterusan di laluan jalan persekutuan ini. Kesan runtuhan tersebut, JKR Daerah Barat Daya telah menutup sepenuhnya Laluan FT006 kepada semua kenderaan.

Hasil tinjauan di Seksyen 46.8 dan Seksyen 45.40, semua kerja – kerja pembinaan di tapak telah disiapkan sepenuhnya pada 6 November 2023 dan ia berjaya dilaksanakan 51 hari lebih awal daripada tarikh siap asal iaitu pada 26 Disember 2023. Kerja-kerja pembaikan cerun ini menggunakan Kaedah Tie Back Wall manakala kerja-kerja pembinaan sistem saliran menggunakan jenis Cascade and Toe Drain. Justeru, Menteri Kerja Raya telah mengumumkan pembukaan laluan di kedua – dua seksyen ini kepada semua jenis kenderaan.

Bagi kerja pembaikan runtuhan ini, Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengeluarkan Arahan Kerja (AK) kepada kontraktor penyelenggaraan cerun jalan persekutuan dan kos semasa untuk Seksyen 46.8 adalah sebanyak RM1.073juta, manakala Seksyen 45.40 sebanyak RM 726 ribu.

Kementerian Kerja Raya sentiasa berusaha memastikan kerja-kerja pembaikan dan penyenggaraan jalan raya yang mengalami kerosakan dilaksanakan dengan terancang demi memastikan pembangunan infra berada dalam keadaan selamat dan selesa untuk digunakan.