Langkau ke kandungan utama

PSKLM Edar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Hari Kebangsaan

KUALA LUMPUR, 30 Ogos 2018: Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) bersama-sama dengan Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah menganjurkan Sambutan Hari Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Bersama YB Menteri Kerja Raya di Plaza Tol Loke Yew (arah Pandan), Lebuhraya BESRAYA sebentar tadi.

Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian melahirkan penghargaan kepada PSKLM dan semua syarikat-syarikat konsesi lebuh raya yang mengambil berat Nilai Kemerdekaan yang diwarisi daripada generasi terdahulu. Langkah ini juga diharapkan akan dapat menyuntik semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia yang hidup berbilang kaum di dalam Negara ini bertepatan dengan tema sambutan Hari Kebangsaan iaitu Sayangi Malaysiaku.

Sementara itu, Yang Dipertua PSKLM, Ir. Sazally Saidi memberitahu program ini adalah kesinambungan bagi kempen kibarkan Jalur Gemilang yang telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 4 Ogos 2018 yang lalu di Pulau Pinang.  Menurut beliau lagi, PSKLM akan sentiasa bekerjasama di dalam setiap usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan demi kemakmuran negara.

YB Tuan Baru Bian bersama-sama dengan wakil Lembaga Lebuhraya Malaysia serta ahli-ahli PSKLM telah mengedarkan Jalur Gemilang kepada pengguna lebuh raya dan melepaskan peserta Konvoi Merdeka di plaza tol berkenaan.

Tarikh Dan Waktu Acara