Langkau ke kandungan utama
0

Program Wacana Malaysia Madani menyuburkan gagasan Malaysia Madani dalam kalangan warga KKR.

Kuala Lumpur, 22 Jun 2023 –  Program Wacana Malaysia Madani Peringkat Kementerian Kerja Raya (KKR) telah berlangsung bertempat di Kompleks Kerja Raya dan program ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Datuk Ahmad Nadzri Embong, Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan KKR.

Dua sesi wacana telah dijalankan dalam program ini, Yang Berbahagia Dato’ Ismail Yucop, Timbalan Ketua Pengarah Jambatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) telah dijemput sebagai penceramah sesi pertama dan beliau telah menyampaikan ceramah yang bertajuk ‘Membangun Malaysia Madani’. Bagi sesi kedua, Yang Berusaha Encik Wan Rahim Wan Yunan, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) juga telah dijemput dan beliau telah menyampaikan ceramah bertajuk ‘Memahami Konsep Malaysia Madani’

Di samping itu, pelbagai aktiviti menarik juga dijalankan sepanjang program ini berlangsung, antaranya ialah Psych-Out!, Food Truck, Pameran Madani oleh PACU dan IDE serta Coretan MADANI Bagiku. Sijil penghargaan diberikan kepada Bahagian yang mempunyai penyertaan peserta yang tertinggi.

Sebagaimana kita semua sedia maklum, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia telah memperkenalkan ‘Malaysia Madani’ sebagai kerangka baharu untuk negara. Program ini merupakan sebuah inisiatif KKR dalam menyambut baik gagasan Malaysia Madani supaya warga KKR dapat menghayati dan mengaplikasi konsep ini dalam budaya kerja mereka.

Tarikh Dan Waktu Acara