Langkau ke kandungan utama
0

Program Penambahan Tempat Berteduh Penunggang Motosikal (Motorcycle Shelter) di Lebuh Raya

Kuala Lumpur, 7 Disember 2023 - Program Penambahan Tempat Berteduh Penunggang Motosikal (Motorcycle Shelter) di Lebuh Raya telah disenaraikan di bawah Inisiatif Bitara MADANI dan dilaksanakan demi kesejahteraan para penunggang motosikal. la merupakan satu inisiatif Kerajaan bertujuan untuk memastikan keselamatan golongan 'vulnerable' ketika mereka berteduh semasa cuaca buruk.

Hari ini Menteri Kerja Raya, YB Dato' Sri Alexander Nanta Linggi bersama-sama Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), YB Datuk Seri Utama Ir. Hasni Bin Mohammad, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Pengarah LLM, YBrs. Ir. Sazali Harun, Presiden Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM), YBhg. Datuk Ir. Zakaria Ahmad Zabidi serta pegawai kanan KKR, LLM, PSKLM dan Syarikat Konsesi lebuh raya telah turun padang melawat salah satu lokasi tambahan di KM 11, Lebuhraya Baru Pantai (NPE) bagi meraikan pencapaian penyiapan 40 lokasi teduhan penunggang motosikal yang dijanjikan pada tahun 2023. Sasaran bagi penyiapan 40 lokasi tersebut telah dicapai dalam tempoh 5 bulan sahaja dengan komitmen tinggi syarikat-syarikat konsesi yang diterajui oleh LLM.

Sejajar dengan semangat kempen MYJalan yang memberi penekanan kepada kesejahteraan rakyat, KKR bersama-sama LLM terus mengembangkan lagi inisiatif menambah tempat teduhan motosikal di lokasi terpilih di lebuh raya. Kesemua lokasi baru tempat teduhan motosikal ini merupakan tambahan kepada 353 lokasi sediada yang juga akan ditambahbaik dari sudut keselesaan dan keselamatan.

Inisiatif di bawah lembayung Bitara MADANI ini melibatkan 119 lokasi di seluruh negara dan telah bermula sejak Ogos tahun ini. Cadangan penambahan lokasi motorcycle shelter baharu di sepanjang lebuh raya telah dikenalpasti bersama-sama syarikat-syarikat konsesi perlu disediakan dalam tahun 2023 dan 2024. Usaha berterusan akan digembeleng untuk penyiapan tempat teduhan penunggang motosikal di 79 lokasi lain pada tahun 2024.

KKR dan LLM komited di dalam meningkatkan kualiti, kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat diberi keutamaan. KKR, LLM dan syarikat konsesi lebuh raya menyahut inisiatif Bitara MADANI dengan memastikan infrastruktur yang dibina sepanjang lebuh raya dapat memberikan keselesaan dan keselamatan kepada semua kategori pengguna lebuh raya.

Tarikh Dan Waktu Acara