Langkau ke kandungan utama
0

Peruntukan Bakal Disalurkan Sebanyak RM50 Juta Secara Geran Padanan Bagi Menyenggara Laluan-Laluan Di Jalan Pelabuhan Klang

Kuala Lumpur, 23 November 2023 – Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah mengadakan tinjauan ke Daerah Klang bertujuan untuk melihat sendiri lokasi-lokasi aduan dan kemalangan di Laluan – Laluan Persekutuan Daerah Klang, Selangor.

Kementerian Kerja Raya (KKR) terus komited dalam memastikan Laluan Persekutuan sentiasa berada dalam keadaan selamat dan selesa kepada semua pengguna jalan raya. Panjang Laluan Persekutuan di Daerah Klang adalah berjumlah 185.067 km. Bagi tahun 2023, KKR telah memperuntukkan sejumlah RM16,349,100.00 di bawah Program Penyenggaraan Berkala Pavemen, Berkala Bukan Pavemen, Jambatan dan Penyenggaraan Lampu Jalan & Lampu Isyarat di Jalan Persekutuan Daerah Klang, Selangor.

Untuk Tahun 2024, KKR bersama Kementerian Pengangkutan akan memberi fokus kepada peruntukan yang bakal disalurkan iaitu sebanyak RM50 Juta secara Geran Padanan bagi menyenggara laluan-laluan yang sering digunakan oleh kenderaan berat di sekitar jalan Pelabuhan Klang. Senarai lokasi ini perlu disemak dengan teliti supaya ia mengambil kira kaedah rawatan yang sesuai bagi menampung beban kenderaan berat yang banyak di kawasan Pelabuhan Klang.

Di samping itu, beliau turut meninjau lokasi kemalangan yang menyebabkan seorang penunggang motosikal maut di Laluan Persekutuan FT3217, Jalan Industri Meru Seksyen 9.3 Daerah Klang, Selangor pada 18 November 2023 yang lalu.

Sebagai kementerian yang bertanggungjawab dalam memastikan infrastruktur awam disenggara dengan baik dan selamat, aplikasi MyJalan KKR merupakan salah satu inisiatif bagi memudahkan pengguna jalan raya membuat aduan berkaitan kerosakan jalan. Aplikasi ini bertujuan meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya serta dapat mengurangkan kes kemalangan jalan raya yang disebabkan oleh kerosakan jalan.

Tarikh Dan Waktu Acara