Langkau ke kandungan utama
0

Peranan Jurutera Di Daerah Dan Jajahan Sebagai Workforce Dalam Membentuk Hala Tuju Kementerian Yang Lebih Efisyen Serta Promosi Pelaksanaan Program MYJalan

Kuala Lumpur, 27 Februari 2024 – Satu sesi dialog bersama Jurutera Daerah dan Jurutera Jajahan Jabatan Kerja Raya Malaysia Tahun 2024 telah diadakan di Kementerian Kerja Raya. Dalam sesi tersebut, YB Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah menyampaikan amanat akan pentingnya peranan Jurutera Daerah dan Jurutera Jajahan sebagai tenaga kerja dalam menjayakan agenda dan halatuju kementerian yang lebih berdaya saing agar memenuhi penanda aras jabatan sekaligus menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat dan negara.

Seramai 86 pegawai yang terdiri daripada Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya Malaysia melibatkan 11 Negeri hadir dan telah mendengar amanat yang disampaikan oleh YB Menteri Kerja Raya yang seterusnya diteruskan dengan taklimat pelaksanaan Program MYJalan.

Sesi dialog dua hala yang julung kali diadakan ini adalah selaras dengan aspirasi Program MuJalan yang antaranya adalah untuk meningkatkan ketangkasan penyelesaian aduan dan kerja-kerja penyenggaraan jalan melalui pemerkasaan fungsi Jurutera Daerah dan Jurutera Jajahan. Pelaksanaan sesi dialog ini diyakini dapat membuka lebih ruang kepada Jurutera Daerah dan Jurutera Jajahan dan pihak Kementerian duduk bersama bagi melihat dan melaksanakan usaha yang dapat memberikan impak dan manfaat kepada rakyat Malaysia Madani.

Mengambil kira kejayaan cemerlang usaha ini sejak Program MYJalan diluncurkan oleh YAB Perdana Menteri pada Ogos 2023, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM30 juta menerusi belanjawan tahun 2024 yang memperlihatkan penambahan peruntukan daripada RM 100 ribu (tahun 2023) kepada RM 200 ribu untuk 115 Jurutera Daerah dan Jurutera Jajahan seluruh Malaysia. Dengan adanya peruntukan ini, adalah menjadi harapan Kementerian Kerja Raya agar semua Jurutera Daerah dan Jurutera Jajahan yang terlibat akan melaksanakan tugas mereka dengan lebih cekap, berintegriti dan amanah.

Tarikh Dan Waktu Acara