Langkau ke kandungan utama
0

Penyerahan SST bagi 35 Projek di Negeri Kelantan bernilai RM 15.98 Juta

Gua Musang, Kelantan, 27 Julai 2023 – Telah berlangsung Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Projek-Projek di Negeri Kelantan yang melibatkan 35 projek dengan anggaran nilai  projek keseluruhan sebanyak RM15.98 juta. Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) Kerja Raya (KKR), YBhg. Dato’ Zahrul Hakim Bin Abdullah telah hadir menyempurnakan majlis penyerahan SST hari ini.

35 penyerahan SST ini melibatkan projek bangunan, projek infrastruktur keselamatan jalan raya dan juga perkhidmatan. Senarai projek yang terlibat adalah seperti berikut:

  • Pembinaan Dewan Terbuka Untuk Pejabat Daerah Pertahanan Awam, Gua Musang dengan kos sebanyak RM1.68juta.
  • Menaiktaraf Infrastruktur Kampus Universiti Malaysia Kelantan Kampus Jeli dengan kos sebanyak RM6.06juta.
  • 8 Kerja Pemasangan Lampu Jalan Di Kawasan Kemalangan/Berisiko Kemalangan Akibat Jalan Gelap dengan kos keseluruhan berjumlah RM1.3juta.
  • 25 projek lain melibatkan kerja-kerja penyenggaraan di sekitar jajahan negeri Kelantan.

Setiap kontraktor yang terpilih diperingati oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dam Pembangunan) KKR tentang tanggungjawab yang bakal diharungi dalam menjelmakan apa yang disyaratkan oleh Kerajaan di dalam tender kepada bentuk fisikal, memenuhi Syarat Kontrak, dan projek dapat disiapkan pada masa yang ditetapkan demi kepuasan penerima fasiliti ini nanti.

Dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), Kerajaan Persekutuan telah meluluskan sebanyak RM3.8 bilion untuk membiayai pelbagai projek infrastruktur di negeri Kelantan. KKR telah melaksanakan Program Menaiktaraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya yang telah diluluskan pada Rolling Plan 2, RMKe-11 dengan siling peruntukan berjumlah RM241.5 juta dan diteruskan pelaksanaannya dalam RMKe-12.

KKR telah membelanjakan peruntukan berjumlah RM3.2 Juta pada tahun 2022 di bawah Program Menaiktaraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya Negeri Kelantan bagi kerja rawatan lokasi kerap berlaku kemalangan (blackspot) dan pemasangan lampu jalan di kawasan kemalangan atau berisiko kemalangan akibat jalan gelap dalam usaha meningkatkan aspek keselamatan pengguna jalan raya di Jalan Persekutuan. Kawasan kerap kemalangan atau berisiko kemalangan seperti di persimpangan, selekoh dan jambatan serta kawasan yang mempunyai jumlah kemalangan yang tinggi akan dikenal pasti dan pemasangan lampu jalan akan dibuat secara setempat dan berskala kecil bukan bagi tujuan pencahayaan di sepanjang laluan.

Infrastruktur jalan raya yang sempurna adalah menjadi tanggungjawab utama KKR dan juga agensi, Jabatan Kerja Raya (JKR). KKR amat mengambil berat akan isu keselamatan jalan raya khususnya di Jalan Persekutuan seluruh negara.

Tarikh Dan Waktu Acara