Langkau ke kandungan utama
0

Pengukuhan Kemahiran Insaniah Melalui Tugasan Penguatkuasaan

Putrajaya, 13 Julai 2023 – Program Cakna Madani YAB Perdana Menteri Malaysia bersama Pegawai Penguat Kuasa tahun 2023 yang telah dijalankan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya merupakan inisiatif kerajaan dalam meningkatkan kesedaran dan kefahaman kepada pegawai dan anggota daripada Agensi Penguatkuasaan dan Agensi Keselamatan dan Ketenteraman Awam mengenai dua konsep utama Malaysia MADANI iaitu ketelusan dan kerjasama. Pembangunan modal insan ini dapat melahirkan pegawai dan anggota yang mempunyai ciri-ciri insan yang berfikir dan bertindak seiring kemajuan peradaban.

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), Yang Berbahagia Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Bin Haji Ahmad telah hadir sebagai panel jemputan bagi Forum Cakna Pembangunan Negara Madani bersama-sama Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Yang Berbahagia Dato’ Sri Khairul Dzaimee Bin Daud.

Antara perkara yang disentuh dalam forum adalah cabaran kerjasama dari penggiat industri. Wujudnya penggiat industri yang kurang rasa bertanggungjawab kepada penguasa yang menguatkuasa undang-undang kerana tahap pematuhan yang rendah dikalangan penggiat industri. Sikap kurang cakna dalam perubahan undang-undang dan peraturan terkini yang terpakai seperti yang dapat dilihat berlaku dalam antara sektor teras KKR, industri pembinaan.

Tugasan penguatkuasaan merupakan satu bidang tugasan yang boleh ditakrifkan sebagai tugasan yang amat kritikal, pelbagai kemahiran sama ada daripada segi kemahiran insaniah seperti komunikasi dan penyelesaian masalah amat diperlukan dalam mendepani para penggiat industri yang mempunyai pelbagai latar belakang. Pengetahuan teknikal dan praktikal juga diperlukan dalam memastikan setiap keputusan yang diambil selaras dengan bidang kuasa juga keperluan dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan kepada pegawai.

Menyambut baik konsep ketelusan dan kerjasama dalam teras Malaysia MADANI, pembaharuan seperti pewujudan sistem penguatkuasaan dan penyelarasan tindakan melalui penyediaan Manual Prosedur Kerja (MPK) Penguatkuasaan kini menjadi fokus dalam memastikan tindakan anggota penguatkuasaan mendepani industri di lapangan sentiasa di tahap yang terbaik. Selain itu, penguatkuasaan secara desktop atau dokumentasi telah berjaya memastikan tahap pematuhan industri berada di dalam tahap yang baik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berlangsung.

Tarikh Dan Waktu Acara