Langkau ke kandungan utama
1

Pemerkasaan Kontraktor Ubahsuai Bumiputera Melalui 5 Inisiatif CNAR

KUALA LUMPUR, 9 Disember - Bidang pengubahsuaian rumah kediaman merupakan satu pengkhususan yang harus dimanfaatkan sepenuhnya kontraktor Bumiputera. Program Pemerkasaan Kontraktor Ubahsuai Bumiputera Melalui CNAR adalah usaha untuk merealisasikan hasrat ini oleh pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dengan usahasama Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Melalui CIDB National Accredited Renovators atau ringkasnya CNAR, sebanyak lima inisiatif telah diusahakan. Pertamanya adalah memperkenalkan bidang baru untuk pendaftaran kontraktor dengan CIDB iaitu Kategori B28 yang memberi fokus kepada kerja-kerja pengubahsuaian rumah kediaman.

Inisiatif kedua pula adalah mensyaratkan perlantikan kontraktor berdaftar dengan CIDB di dalam permit ubahsuai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Inisiatif ketiga ialah penerbitan Terma Standard Kontrak Pembinaan untuk Kerja Ubahsuai dan Projek Kecil menjelaskan hak dan tanggungjawab pemilik rumah kediaman dan kontraktor ubahsuai.  

Inisiatif keempat pula adalah penerbitan Panduan Ubahsuai Kediaman yang bertujuan memberi panduan secara am kepada pemilik rumah mengenai kaedah betul untuk mengubahsuai rumah kediaman. Inisiatif kelima pula adalah menerbitkan Direktori Kontraktor Kerja Ubahsuai Bumiputera yang merupakan panduan kepada pemilik rumah kediaman dalam mengenalpasti, memilih dan melantik kontraktor kerja ubahsuai rumah kediaman yang telah berdaftar dengan CIDB.

Program ini telah dihadiri Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Haji Yusof yang telah menyampaikan ucaptama dan turut meyaksikan upacara menandatangani MoU di antara KKR, KPKT, CIDB dan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) sebagai simbolik komitmen dan kerjasama untuk memperkasa kontraktor Bumiputera melalui CNAR.

Tarikh Dan Waktu Acara