Langkau ke kandungan utama
0

Pembukaan Seksyen 6, WCE Bakal Memacu Pembangunan Ekonomi di Pantai Barat Negeri Selangor

Assam Jawa, Selangor, 26 Julai 2023 – Menteri Kerja Raya (KKR) YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi meninjau kemajuan kerja-kerja pembinaan Seksyen 6, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE). Beliau menjangkakan impak positif yang signifikan hasil dari pembinaan lebuh raya ini terhadap kemajuan ekonomi dan komuniti setempat.

Seksyen 6, WCE ini yang bermula dari Persimpangan Bertingkat Bandar Bukit Raja (Utara)/Kapar ke Persimpangan Bertingkat Assam Jawa (sambungan terus ke penghujung Lebuhraya LATAR) sepanjang 21.8 kilometer, dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini.

Lebuh raya yang dibina menggunakan standard R6 dengan 2 lorong 2 hala akan dapat mengubah landskap pengangkutan di kawasan tersebut dengan penjimatan masa perjalanan antara bandar-bandar utama sekitar Klang, Shah Alam, Puncak Alam dan Kuala Selangor, yang mana masa perjalanan dari Klang ke Kuala Selangor/Ijok dijangka dapat dikurangkan sehingga 30 minit.

Lebuh raya ini juga dijangka memberi manfaat besar dalam merancakkan industri pelancongan di kawasan ini serta membantu menarik lebih ramai pelancong ke destinasi pelancongan seperti Kuala Selangor, Jeram, Bandar Warisan Batu Arang, Sky Mirror serta Taman Kelip-Kelip Kampung Kuantan.

Manfaat Lebuhraya WCE ini juga akan dirasai oleh usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) serta peniaga tempatan sebagai jaringan hubungan pengangkutan yang lancar, aktiviti perniagaan akan menjadi lebih mudah dan dapat meningkatkan jualan serta keuntungan perniagaan selari dengan pertambahan pengunjung ke kawasan tersebut, sekaligus dapat menambah peluang pekerjaan.

Lawatan kerja Menteri Kerja Raya ke Seksyen 6, WCE menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan Malaysia MADANI terhadap keperluan komuniti sekitar dengan menyediakan kemudahan infrastruktur terbaik kepada rakyat.

Menteri Kerja Raya berharap LLM dan Syarikat Konsesi WCE dapat memastikan pembinaan siap mengikut jadual dan mengambil langkah-langkah perlu untuk menangani sebarang masalah yang timbul agar kemudahan infrastruktur penting ini dapat dinikmati segera oleh pengguna lebuh raya sebagai pilihan.

Tarikh Dan Waktu Acara