Langkau ke kandungan utama
0

Pembukaan Lebuhraya WCE Seksyen 6

Assam Jawa, 20 November 2023 – Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi hari ini telah merasmikan pembukaan Seksyen 6, Persimpangan Bertingkat Bandar Bukit Raja Utara ke Persimpangan Bertingkat Assam Jawa, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE). Lebuhraya WCE Seksyen 6 ini melibatkan jajaran sepanjang 21.8 kilometer yang menghubungkan secara terus pengguna lebuh raya dari Kapar ke Assam Jawa, Selangor dibuka secara rasmi kepada pengguna lebuh raya bermula dari jam 12.01 pagi, 21 November 2023 (Selasa).

Pembukaan Lebuhraya WCE Seksyen 6 ini dijangka dapat menjimatkan masa perjalanan dari Kapar ke Assam Jawa (Ijok) yang akan mengambil masa hanya 15 minit sahaja berbanding 45 minit sebelum ini melalui laluan sedia ada. Pengurangan masa perjalanan selama 30 minit ini menjanjikan kemudahan dan keselesaan yang lebih baik kepada pengguna lebuh raya.

Selain itu, pembukaan Lebuhraya WCE Seksyen 6 ini akan memberi impak positif dalam merancakkan industri pelancongan tempatan. Destinasi pelancongan menarik seperti Bandar Warisan Batu Arang, Bukit Malawati, Sky Mirror, dan Taman Kelip-Kelip Kampung Kuantan misalnya, kini, boleh diakses dengan lebih mudah oleh pengunjung. Ini akan dapat meningkatkan aktiviti pelancongan di kawasan itu serta mewujudkan peluang baharu untuk perniagaan tempatan.

Empat seksyen pertama Lebuhraya WCE telah dibuka sebelum ini pada tahun 2019, melibatkan tiga seksyen di Negeri Perak iaitu Seksyen 8 (Hutan Melintang – Teluk Intan), Seksyen 9 (Lekir – Changkat Chermin) dan Seksyen 10 (Changkat Chermin - Beruas), manakala satu seksyen di Negeri Selangor iaitu Seksyen 5 (Bandar Bukit Raja Selatan - Bandar Bukit Raja Utara).

KKR Percaya bahawa dengan pembukaan Lebuhraya WCE boleh memangkin ekonomi Perusahaan kecil dan sederhana (PKS). PKS akan mendapat manfaat daripada pembukaan lebuh raya ini yang sekaligus dapat merancakkan pertumbuhan sosioekonomi kepada komuniti setempat. Lebuhraya WCE Seksyen 6 ini juga mempunyai sambungan secara terus dengan Lebuhraya LATAR yang menawarkan lebih kesalinghubungan antara rangkaian lebuh raya untuk kemudahan pengguna.

Tarikh Dan Waktu Acara