Langkau ke kandungan utama
0

Pembukaan Fasa 2 Lebuhraya SUKE dapat menyuraikan kepadatan trafik

Kuala Lumpur, 15 Jun 2023 -  Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah merasmikan pembukaan Fasa 2 Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang melibatkan baki jajaran utama sepanjang 7.8 kilometer bermula dari Sri Petaling, Lebuhraya Shah Alam (KESAS) sehingga Cheras-Kajang. Lebuhraya SUKE dibuka secara rasmi kepada pengguna bermula 12:01 tengah malam, 16 Jun 2023. Pembukaan Fasa 2 ini juga memiliki satu plaza tol iaitu Plaza Tol Alam Damai yang akan beroperasi secara percuma, bermula dari tarikh 16 Jun 2023, 12:01 tengah malam sehingga 29 Jun 2023, 11:59 malam.

Lebuhraya SUKE ini merupakan rangkaian lebuhraya yang menghubungkan lima (5) lebuhraya lain iaitu Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, Lebuhraya Cheras-Kajang (GRAND SAGA), Lebuhraya Hubungan Timur-Barat KL atau Lebuhraya Salak.

Secara keseluruhan, Projek Lebuhraya SUKE telah mencapai kemajuan pembinaan sebanyak 99.54%, setakat 4 Jun 2023. Terdapat satu lagi persimpangan iaitu Jalan Susur (Ramp) Jalan Alam Damai yang masih dalam pembinaan dan dijangka siap dalam suku ketiga tahun ini.

Pembukaan fasa terbaharu ini melengkapkan objektif utama Lebuhraya SUKE iaitu menyuraikan kepadatan trafik khususnya di sepanjang Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2). Ia dijangka membantu menampung sebahagian trafik yang lazimnya melalui MRR2.

Selain itu, pengguna juga dapat menggunakan keseluruhan jajaran utama Lebuhraya SUKE sepanjang 24.4 kilometer dari Sri Petaling ke Ulu Kelang dengan masa perjalanan yang dipendekkan kepada 25 minit berbanding 75 minit melalui laluan sedia ada.

Pihak Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan PROLINTAS menasihatkan semua pengguna lebuhraya supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan dan memandu secara berhemah.

Lebuhraya SUKE telah dibangun dan diuruskan oleh Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn. Bhd yang merupakan anak syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (PROLINTAS).

Tarikh Dan Waktu Acara