Langkau ke kandungan utama
0

Pemberian Tol Percuma Sempena Perayaan Deepavali

Kuala Lumpur, 10 November 2023Selaras dengan semangat perpaduan Malaysia Madani, Kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 Januari 2023 telah bersetuju untuk memberikan tol percuma selama dua hari kepada para pengguna lebuh raya negara ini bersempena dengan sambutan perayaan Deepavali yang akan disambut pada 12 November 2023.

Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui mesyuarat bersama-sama dengan syarikat konsesi juga telah bersetuju dengan pelaksanaan pemberian tol percuma ini yang bermula pada 11 November 2023 (Sabtu) jam 12.01 pagi sehingga 12 November 2023 (Ahad) jam 11.59 malam.

Pengecualian tol akan diberikan kepada semua jenis kelas kenderaan di semua plaza tol KECUALI di plaza tol di sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sul-tan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.

Inisiatif ini dilaksanakan bagi meraikan kesemua rakyat Malaysia terutamanya masyarakat kaum India beragama Hindu yang menyambut perayaan Deepavali. Ini juga selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan.

Pemilihan tarikh ini juga bertujuan bagi mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar serta dapat men-goptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan seperti pengu-rusan kawalan trafik, sumber air tambahan, penyediaan tandas serta keperluan logistik lain yang melibatkan pihak ketiga di kawasan hentian sebelah (Lay By) dan kawasan Rehat & Rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya. Anggaran jumlah trafik dalam masa dua hari tersebut adalah sebanyak 11.8 juta kenderaan.

Dengan pelaksanaan tol percuma ini, diharapkan agar pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini selain merancang perjalanan dengan sebaiknya. Pengguna lebuh raya juga dinasihatkan untuk mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan.

Aspek keselamatan serta pemanduan selamat perlulah dipatuhi supaya semua pengguna lebuh raya dapat tiba ke destinasi dengan selamat dan sambutan perayaan Deepavali ini akan menjadi lebih bermakna bersama keluarga tercinta.

Pengguna boleh menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuhraya yang akan dikemaskini di media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook: Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di Twitter @LLMtrafik secara berkala. Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan trafik atau bantuan.

Kementerian Kerja Raya ingin mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua yang menyambut perayaan ini. Semoga selamat sampai ke destinasi masing-masing.

Tarikh Dan Waktu Acara