Langkau ke kandungan utama
0

Pelatih-Pelatih TVET Kemahiran Pembinaan Digalakkan Menceburi Bidang Keusahawanan

Sintok, 18 Februari 2024 – Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Ahmad Maslan telah mengadakan lawatan kerja ke Akademi Binaan Malaysia Wilayah Utara bagi pendedahan dan penerangan mengenai latar belakang dan objektif Akademi Binaan Malaysia kepada industri pembinaan.

Pelatih-pelatih Technical and Vocational Education and Training (TVET) di dalam bidang kemahiran pembinaan adalah digesa untuk menceburi bidang keusahawanan, selaras dengan aspirasi Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 untuk melahirkan belia bumiputera berpendapatan tinggi dan juga berupaya menawarkan peluang pekerjaan kepada orang lain.  Acara perhimpunan selama tiga hari yang akan bermula pada 29 Februari depan adalah bertujuan meneroka peluang baharu bidang ekonomi bagi memperkasa bumiputera di negara ini.

Perkara ini ditekankan Timbalan Menteri Kerja Raya semasa memberi ucapan sempena Majlis Beramah Mesra dengan Pelatih Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan CIDB Tech Wilayah Utara di sini hari ini. 

“Jadi, manfaatkan peluang yang ada melalui program anjuran CIDB sedia ada khususnya bagi program yang disediakan untuk lepasan graduan ABM dan CIDB Technologies, seperti Program Usahawan Kemahiran Belia Bumiputera (Skilltechpreneur) untuk memperlengkapkan usahawan binaan dengan latihan pengurusan perniagaan dan praktikal keusahawanan secara hands on,” katanya.

Sejak penubuhan Akademi Binaan Malaysia (ABM) pada tahun 1997 dan CIDB Technologies Sdn Bhd (CIDB Tech) pada tahun 2020, kedua-dua entiti di bawah CIDB Malaysia telah memainkan peranan besar dalam melaksanakan latihan-latihan yang berfokuskan TVET. Skop TVET memberi penekanan kepada komponen praktikal, kemahiran psikomotor dan pendedahan kepada latihan di industri yang bertujuan untuk membangunkan tenaga kerja yang berkemahiran dan mempunyai tahap kompetensi yang mencapai standard industri pembinaan. 

Menurut Ketua Eksekutif CIDB Dato’ Sr Mohd Zaid Zakaria dari tahun 2018 hingga 2023, lebih daripada   RM 51 juta telah digunakan untuk membekalkan latihan kemahiran pembinaan kepada 12 ribu belia dan personel binaan melalui 6 buah ABM dan CIDB Tech di seluruh negara. Katanya, terdapat lebih daripada 100 bidang kemahiran yang ditawarkan di seluruh negara. 

Antara bidang dan tred yang menjadi permintaan tinggi di ABM Wilayah Utara adalah seperti Gas Pipe Fitter, Wireman Single Phase, Air-Conditioning & Mechanical Ventilation, Scaffold Erection dan Plant Operation.

Selepas majlis beramah mesra, Datuk Seri Ahmad Maslan telah mengadakan lawatan ke fasiliti latihan kemahiran di Kompleks ABM Wilayah Utara. Beliau diiringi Ketua Eksekutif CIDB Malaysia Dato’ Sr Mohd Zaid Zakaria, beserta Timbalan Ketua Eksekutif CIDB Holdings Mohd Azizi Ali, Ketua Pegawai Eksekutif ABM Wilayah Utara Mohd Nazri Bin Hj Zakaria dan Ketua Pegawai Eksekutif CIDB Technologies Hafiz Dasahi.

Tarikh Dan Waktu Acara