Langkau ke kandungan utama
0

Pelancaran MyPLUS-TTA Untuk Perjalanan Lebih Selesa dan Agih Trafik Ketika Musim Perayaan

Petaling Jaya, 30 Januari 2024 - Menteri Kerja Raya Malaysia, Dato Sri Alexander Nanta Linggi hari ini melancarkan MyPLUS-TTA, sebuah aplikasi digital oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS) untuk para pengguna lebuhraya merancang perjalanan semasa musim perayaaan. MyPLUS-TTA berkonsepkan pengagihan trafik berdasarkan polar perjalanan pada musim-musim perayaan sebelum ini. Ia membantu mengoptimakan pengagihan trafik bagi mengurangkan risiko kesesakan dan meningkatkan keselesaan perjalanan pengguna.

Turut hadir pada majlis pelancaran yang berlangsung di Persada PLUS hari ini adalah Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Ir Mohd Hadzmir Yusoff, Presiden Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) merangkap Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Ir Zakaria Ahmad Zabidi, Pengarah Penguatkuasa Kanan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan, Pengarah Pusat MIROS, Ir. Ts. Dr. Muhammad Marizwan Abdul Manan serta pegawai-pegawai kanan daripada Polis DiRaja Malaysia, KKR dan juga LLM.

Menurut Menteri Kerja Raya, inisiatif baru yang diperkenalkan ini mengadaptasikan pendekatan digital dan selari dengan perkembangan teknologi masa kini yang semakin pesat. Beliau yakin MyPLUS-TTA mampu memberi nafas baru kepada pendekatan rakyat dalam merancang perjalanan di musim perayaan dan dapat membantu mengurangkan kemungkinan berlakunya kesesakan di lokasi-lokasi tertentu di lebuh raya menerusi strategi pengagihan trafik.

MyPLUS-TTA yang boleh diakses menerusi Aplikasi PLUS berperanan mengubah cara pengguna lebuh raya berinteraksi dengan perjalanan mereka. Dengan menggunakan data dan trend perjalanan pada musim-musim perayaan yang lalu, ia dapat membantu pengguna membuat keputusan dan memilih waktu perjalanan yang paling sesuai dengan kehendak mereka dan memastikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan selesa.

Pengurusan trafik yang lebih efisien menerusi Aplikasi MyPLUS-TTA ini juga dapat mengurangkan pencemaran udara, selaras dengan komitmen kelestarian PLUS serta mendokong Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2030.

Pada majlis pelancaran tersebut, Menteri Kerja Raya juga mengumumkan bahawa MyPLUS- TTA akan turut diintegrasikan ke dalam Aplikasi MyJalan di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR). KKR menyokong penuh inisiatif ini. Maka, KKR bercadang untuk mengintegrasikan MyPLUS-TTA di dalam Aplikasi MyJalan pada setiap musim-musim perayaan yang akan datang. Ia bagi memudahkan rakyat untuk mengakses serta merancang perjalanan mereka dengan lebih efisien serta terus membolehkan MyJalan memainkan peranannya sebagai one-stop centre.

Pada ketika ini, MyPLUS-TTA boleh diakses menerusi Aplikasi PLUS yang boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play Store (bagi peranti Android) dan App Store (bagi pengguna iPhone).

Tarikh Dan Waktu Acara