Langkau ke kandungan utama
0

Pelancaran IBS Homes Catalogue dapat meningkatkan kualiti sistem IBS dalam sektor pembinaan negara

Kuala Lumpur, 8 Ogos 2023 – Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah hadir dalam pelancaran IBS Homes Catalogue dan pameran IBS Homes yang dikendalikan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) hari ini. Ia dijangka dapat merevolusikan penggunaan IBS dalam landskap perumahan mampu milik di Malaysia. Turut hadir bersama Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Bin Haji Ahmad dan Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, YBhg. Datuk Ir. Ahmad 'Asri Abdul Hamid.

IBS Homes Catalogue menampilkan 46 reka bentuk piawaian rumah teres dari satu hingga dua tingkat, rumah bandar, banglo dan pangsapuri bersendirian yang boleh dibina menggunakan pelbagai jenis sistem Sistem Binaan Berindustri (IBS). Pereka bentuk, pelanggan, pemaju dan juga kontraktor boleh memilih pelbagai reka bentuk yang memenuhi garis panduan dan keperluan piawaian rumah mampu milik yang ditetapkan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) selaras dengan Standard Perumahan Kebangsaan CIS 26:2019.

Rumah pameran yang dibina secara fizikal adalah sebagai bukti konsep daripada reka bentuk yang dilancarkan dalam IBS Homes Catalogue. Lima rumah sampel baharu ini dibina berasaskan Sistem IBS termasuk Interlocking Hollow Block System, Pre-cast concrete system, Metal framing system, Hollow Core Pre-cast concrete system, dan 3D Printing. Rumah pameran ini terletak di IBS Homes, Kompleks CIDB, Chan Sow Lin, Cheras. Ia boleh dilawati dengan membuat tempahan slot awal di  CIDB IBS Sdn Bhd.

Menteri Kerja Raya menyatakan IBS Homes Catalogue adalah pencapaian penting bagi menuntut penyediaan penyelesaian perumahan mampu milik untuk rakyat. Majlis penting ini meraikan kemuncak usaha dalam memacu pengkomersilan digital melalui IBS.

Selain inisiatif yang dilancarkan pada hari ini, inisiatif seperti Transformasi Industri Pembinaan Program (CITP) 2016-2020, Pelan Strategik Pembinaan 4.0 2021-2025 dan Dasar Pembinaan Negara (NCP) 2030 juga telah menyumbang kepada kestabilan dalam pertumbuhan Sistem Binaan Industri (IBS) di Malaysia.

Justeru, KKR dan CIDB berharap pelancaran IBS Homes Catalogue ini dapat meningkatkan kualiti dan kestabilan sistem binaan berindustri (IBS) dalam sektor pembinaan di negara ini.

Tarikh Dan Waktu Acara