Langkau ke kandungan utama
0

Pelaksanaan Program Menaiktaraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya Pulau Pinang.

Pulau Pinang, 27 Julai 2023 – Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang melaksanakan Program Menaiktaraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya di seluruh negara yang telah diluluskan pada Rolling Plan 2, RMKe-11 dengan siling peruntukan berjumlah RM241.5 Juta dan diteruskan pelaksanaannya dalam RMKe-12.

Bagi negeri Pulau Pinang, Menteri Kerja Raya (KKR), YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah menyerahkan Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor-kontraktor negeri Pulau Pinang yang berjaya dalam Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Bagi Kerja Pemasangan Lampu Jalan Di Kawasan Kemalangan/Berisiko Kemalangan Akibat Jalan Gelap Dan Rawatan Memperelok Lokasi Kerap Berlaku Kemalangan (Blackspot) Negeri Pulau Pinang.

Kawasan kerap berlaku kemalangan (Blackspots) bermaksud kawasan yang sering berlaku kemalangan sama ada 3 kemalangan sama jenis atau 5 kemalangan dari pelbagai jenis dalam tempoh 3 tahun di lingkungan 100 meter panjang jalan atau 50 meter radius jalan.

Skop pemasangan lampu jalan di kawasan berlaku kemalangan atau berisiko kemalangan akibat jalan gelap pula, kawasan kerap kemalangan atau berisiko kemalangan seperti di persimpangan, selekoh dan jambatan serta kawasan yang mempunyai jumlah kemalangan yang tinggi akan dikenal pasti dan pemasangan lampu jalan akan dibuat secara setempat dan berskala kecil bukan bagi tujuan pencahayaan di sepanjang laluan. Bagi tahun 2023, sebanyak dua lokasi dikenal pasti di Daerah Seberang Perai Utara yang membawa kos keseluruhan sebanyak RM400 ribu iaitu RM200 ribu untuk satu lokasi.

Manakala bagi skop merawat lokasi kerap berlaku kemalangan atau blackspots dilaksanakan sebagai satu usaha untuk mengurangkan kemalangan yang disebabkan oleh faktor kejuruteraan jalan. Rawatan blackspot ini hanya berskala kecil/janga pendek dengan kos anggaran RM350,000.00 untuk setiap lokasi.  Antara contoh rawatan tersebut ialah pembaikan perabot jalan seperti papan tanda, penghadang jalan, pembaikan tandaan jalan, bebendul jalan, lorong memotong, pembahagi dan pepaku Jalan. 

Bagi tahun 2023, tiga lokasi di Daerah Seberang Perai Utara, dua di Daerah Barat Daya dan dua di Daerah Seberang Perai Selatan telah dikenal pasti untuk Negeri Pulau Pinang.

Menteri Kerja Raya menyatakan harapan beliau kepada kontraktor-kontraktor yang berjaya agar setiap kerja yang dijalankan adalah berdasarkan kepada spesifikasi yang terdapat dalam kontrak kerja serta dapat mematuhi setiap peraturan dan keselamatan yang telah ditetapkan oleh Penguatkuasa dan agensi tempatan yang berkaitan. 

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita