Langkau ke kandungan utama
0

Pelaksanaan Program Jelajah Explorasi Lebuhraya Pan Borneo Sarawak

SARAWAK, 15 OGOS 2023 – Menteri Kerja Raya, YB. Dato Sri Alexander Nanta Linggi bersama-sama Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, YB. Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah turun padang untuk menyertai Program Jelajah Explorasi Lebuhraya Pan Borneo Sarawak pada 14 Ogos dan 15 Ogos 2023.

Selain daripada memantau prestasi pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak, program tersebut turut melihat lokasi-lokasi yang akan ditelusuri oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semasa Jelajah Kembara Borneo yang dijadualkan pada bulan September tahun ini. Bermula dari Kuching ke Sibu, lokasi-lokasi yang telah ditinjau pada hari pertama program tersebut adalah Seksyen Bukit Begunan, Kawasan Rehat Dan Rawat (Rest and Service Area – RSA) Jelukong di Sri Aman, Persimpangan Bertingkat Bintangor dan Hentian Sebelah (lay-by) di Julau. Pada hari kedua program tersebut yang berakhir di Miri, Jelajah Explorasi Lebuhraya Pan Borneo Sarawak telah meninjau beberapa tapak persimpangan bertingkat di Lapangan Terbang Bintulu, Niah, Bekenu serta tapak viaduct di Lambir.

Prestasi pelaksanaan keseluruhan WPC ini sehingga bulan Julai 2023 adalah 97% dengan jangkaan siap keseluruhan pada bulan Disember 2023. Namun terdapat beberapa seksyen di Miri dijangka siap pada pertengahan tahun 2026 bagi membolehkan kerja-kerja reka bentuk semula dijalankan.

KKR bertanggungjawab untuk memastikan keberkesanan dan kemajuan pelaksanaan infrastruktur Jalan Persekutuan di Sarawak bagi memenuhi keperluan semasa rakyat di negeri Sarawak. Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk mematuhi papan tanda jalan dan had kelajuan khususnya di sepanjang kawasan pembinaan.  Sebarang aduan serta pertanyaan berhubung kerja-kerja pembinaan dan penyenggaraan jalan bagi Projek LPB Sarawak bolehlah dimajukan melalui telefon, laman web serta media sosial Kementerian Kerja Raya dan JKR Sarawak.

Tarikh Dan Waktu Acara