Langkau ke kandungan utama
0

Pelaksanaan Pendaftaran Pengenalan Identiti Digital Malaysia (MyDigital ID) Di Kementerian Kerja Raya

Kuala Lumpur, 18 Disember 2023 - Hari ini telah berlangsung sesi pelaksanaan pendaftaran pengenalan Identiti Digital Malaysia (MyDigital ID) melibatkan warga Kementerian Kerja Raya (KKR). Sesi ini telah dilaksanakan oleh MIMOS melalui Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya.

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KSU KKR), YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad juga hadir bagi meninjau perjalanan program tersebut. Beliau meluangkan masa menyantuni para petugas dan warga KKR yang hadir untuk membuat pendaftaran dan beliau turut membuat pendaftaran MyDigital ID di kaunter yang disediakan.

Tujuan pelaksanaan MyDigital ID ini adalah bagi memperkasakan transformasi digital, serta membangunkan inisiatif digital khususnya membabitkan urusan dengan Kerajaan. Ianya merupakan suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital yang bakal dimanfaatkan dalam sektor awam dan swasta untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi secara dalam talian.

MyDigital ID ini tidak menggantikan sistem MyKad atau kad pengenalan sedia ada. Digital ID merupakan platform yang dipercayai dan selamat serta memudahkan pengesahan identiti dalam talian bagi mengelakkan penipuan identiti dalam urusan secara dalam talian.

Khabar angin yang menyuarakan kebimbangan bahawa cip akan dimasukkan dalam badan menerusi pendaftaran MyDigital ID ini adalah tidak benar. Sasaran utama pemilik MyDigital ID ini adalah rakyat Malaysia dan akan diperluaskan kepada pemastautin yang menetap di Malaysia.

KKR akan sentiasa komited dan menyokong usaha Kerajaan dalam membangunkan inisiatif digital yang dapat dimanfaatkan oleh sektor awam dan swasta di negara ini.

Tarikh Dan Waktu Acara