Langkau ke kandungan utama
1

Anugerah Media Pembinaan CIDB 2017 Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 13 OKTOBER 2017 : Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) hari ini meraikan 12 wartawan dan jurugambar dalam Anugerah Media Pembinaan CIDB 2017 (AMP 2017). AMP 2017 yang dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof sempena Malam Penghargaan Media KKR, merupakan satu pengiktirafan terhadap karya kewartawanan pembinaan tempatan terbaik bagi Semenanjung Malaysia. Hal ini kerana, peranan media sangat penting dalam memberikan pemahaman kepada masyarakat terhadap agenda transformasi nasional di bawah Program Transformasi Industri Pembinaan 2016-2020 (CITP) yang merupakan sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-11. Selaras dengan itu, pihak CIDB dan KKR menganjurkan AMP setiap tahun sebagai platform untuk para media yang berkarya sekaligus membantu CIDB menghebahkan segala inisiatif dan pencapaian lebih-lebih lagi di saat CITP berada di titik tengah pelaksanaannya jelas Dato’ Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid, Ketua Eksekutif CIDB Malaysia. Sejak diperkenalkan pada tahun 2015, AMP telah menerima penyertaan yang memberangsangkan daripada pengamal media seluruh negara. Bagi tahun 2017, AMP yang mendapat kerjasama KKR dan Malaysia Press Institute (MPI) menerima penyertaan sebanyak 144 penyertaan daripada Semenanjung Malaysia membabitkan media cetak, eletronik dan online. AMP dibahagikan kepada tiga kawasan liputan iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Serawak. Setiap kawasan liputan melibatkan tiga kategori yang dipertandingkan iaitu Kategori Media Cetak (Berita & Rencana), Kategori Media Elektronik & Online Broadcasting (Berita & Rancana) dan Kategori Fotografi. Antara pemenang untuk AMP 2017 bagi Semenanjung Malaysia, Kategori Media Cetak (Berita & Rancana) dimenangi Ang Hui Hsien dari Focus Malaysia, tempat kedua dimenangi oleh Syed Jaymal Zahiid dari Malay Mail dan tempat ketiga dimenangi oleh Shalini a/p Ravindran dari The Star. Bagi Kategori Media Penyiaran Elektronik & Video Portal Berita tempat pertama dirangkul oleh Hilal bin Azman dan Samsulkamal bin Abdul Latip dari Astro Awani, tempat kedua Wan Eizzul Islam Wan Zulkifli dan Khairul Azwan Khalil dari NTV7 dan tempat ketiga Mohd Safwan dan Mohd Jufri Mohd Judin dari TV3. Manakala, Kategori Fotografi, Lek Kah Meng dari Sin Chew Daily mendapat tempat pertama, manakala Mohamed Sairien Mohamed Nafis dari New Straits Times tempat kedua dan tempat ketiga Puspanathan a/l Periannan dari The Star. Setiap kategori menawarkan hadiah wang tunai terkumpul berjumlah RM90,000 untuk semua kawasan liputan termasuk sijil penyertaan dan trofi.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita