Langkau ke kandungan utama
1

Menteri Kerja Raya Rasmi Pejabat Baru CIDB Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 19 Ogos: Menteri Kerja Raya, YB Datuk Haji Fadillah bin Haji Yusof hari ini merasmikan Pejabat dan Pusat Perkhidmatan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KL) di Jalan Chan Sow Lin.

Pejabat serta Pusat Perkhidmatan yang serba baharu tersebut dipindahkan ke lokasi ini daripada Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi memberi lebih keselesaan kepada pelanggan.

Selain tempat letak kereta yang mencukupi dan percuma untuk pelanggan, CIDB Kuala Lumpur juga menyediakan ruangan menunggu yang lebih luas, serta cafeteria untuk kemudahan pelanggan.

Sebagai respon kepada kehendak penggiat industri, CIDB KL juga menyediakan tujuh kaunter perkhidmatan untuk membuat pendaftaran kontraktor dan personel binaan di mana Pusat Perkhidmatan CIDB KL menerima lebih daripada 300 pelanggan setiap hari.

Jumlah kontraktor berdaftar di Kuala Lumpur sehingga 31 Julai 2014 adalah 7,068 syarikat, iaitu jumlah ketiga terbesar selepas Sabah (9,893) dan Selangor (10,780).Manakala jumlah kontraktor berdaftar di seluruh negara dalam tempoh yang sama adalah 66,725.Disamping itu, jumlah personel binaan yang berdaftar di Kuala Lumpur sehingga 31 Julai 2014 pula adalah seramai 161,388 orang. Angka ini adalah jauh lebih tinggi daripada jumlah personel binaan berdaftar dalam keseluruhan tahun 2012 iaitu 75, 835.

Dari segi nilai projek pembinaan pula, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan nilai tertinggi iaitu RM8.4 bilion daripada nilai RM39 billion yang direkodkan di seluruh negara sehingga akhir Jun 2014. Menurut statistik, sebanyak RM6 billion daripada nilai tersebut disumbangkan oleh projek-projek pembinaan bangunan kediaman dan bukan kediaman.

Turut hadir pada majlis perasmian tersebut adalah Timbalan Menteri Datuk Rosnah bin Abdul Rashid Shirlin, Pengerusi CIDB Malaysia Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali dan Ketua Eksekutifnya Dato’ Sri Ir. Dr. Judin Abdul Karim.

Tarikh Dan Waktu Acara