MENARABENA DIPERKENALKAN, PERKASA TRANSFORMASI DIGITAL INDUSTRI PEMBINAAN
KUALA LUMPUR – YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya, telah menyempurnakan pelancaran MENARABENA, sebuah platform digital perniagaan-ke-perniagaan (B2B) yang bertujuan memudahkan urusan perolehan bahan binaan serta menghubungkan kontraktor, pembekal dan pengilang dalam satu ekosistem digital.
Platform ini menyediakan akses kepada maklumat produk, pilihan pembekal yang lebih luas serta kemudahan penyelarasan penghantaran dan penjejakan pesanan, sekali gus membantu meningkatkan kecekapan perolehan dan ketelusan rantaian bekalan industri pembinaan.
MENARABENA juga membuka peluang kepada pengilang dan pembekal tempatan untuk memperluas pasaran, termasuk ke peringkat antarabangsa, di samping memperkukuh daya saing industri pembinaan negara.
Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan dalam mempercepat pendigitalan industri pembinaan bagi mewujudkan ekosistem yang lebih cekap, berdaya saing dan mampan.
- Log in to post comments