KKR PERKUKUH TADBIR URUS DAN INTEGRITI PEROLEHAN KERAJAAN MENERUSI KURSUS PEMANTAPAN PENILAIAN PEROLEHAN SIRI 3/2026
GENTING HIGHLANDS — Bagi memantapkan lagi proses penilaian perolehan kerajaan, Bahagian Kewangan, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menganjurkan Kursus Perolehan Siri 3 Tahun 2026: Pemantapan Penilaian Perolehan Kerajaan. Penganjuran program khas ini merupakan cetusan idea dan cadangan daripada Ketua Setiausaha KKR, YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim demi memastikan tatacara perolehan sentiasa dilaksanakan mengikut prinsip tadbir urus terbaik.
Program berimpak tinggi ini melibatkan penyertaan seramai 45 orang pegawai penilai perolehan yang dilantik di peringkat KKR dan Jabatan Kerja Raya (JKR). Fokus utama penganjuran ini adalah untuk mempertingkatkan kefahaman terhadap dasar-dasar perolehan terkini, memperkukuh kemahiran penilaian teknikal serta kewangan secara sistematik, di samping menajamkan analisis penilaian secara objektif dan telus.
Selain itu, program ini turut memberi penekanan khusus terhadap peningkatan kompetensi peserta dalam menyediakan laporan penilaian berjustifikasi tinggi. Penerapan nilai integriti, akauntabiliti, dan profesionalisme turut diangkat sebagai teras utama sepanjang pegawai menggalas tanggungjawab dalam Jawatankuasa Penilaian.
Bagi memantapkan keberkesanan latihan, para peserta didedahkan dengan modul pembelajaran interaktif di dalam kelas, sesi perkongsian ilmu secara praktikal, serta sesi Townhall eksklusif bersama Ketua Setiausaha KKR, YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim dan Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato’ Ir. Ibrahim bin Esa. Sesi Townhall ini menjadi platform strategik bagi barisan pengurusan tertinggi KKR dan JKR untuk menyampaikan amanat, hala tuju, serta harapan kerajaan terhadap tadbir urus perolehan.
Kementerian Kerja Raya berharap agar segala ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang kursus ini dapat diterjemahkan sepenuhnya dalam tugasan harian para pegawai. Usaha berterusan ini adalah berteraskan komitmen KKR untuk memastikan perbelanjaan awam menghasilkan nilai faedah terbaik (value for money) demi kemajuan organisasi dan negara.
- Log in to post comments