Langkau ke kandungan utama
1

MATEPM Merai Peserta Kemahiran Peringkat Kebangsaan

PUTRAJAYA, 29 Januari – Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) telah diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) untuk memilih peserta terbaik keseluruhan pertandingan kategori Worldskills Malaysia Belia (WSMB) dan Kategori Worldskills Malaysia Pengajar (WSMP) bagi mewakili Negara menyertai pertandingan World Skills Competition (WSC) di Sao Paolo, Brazil pada bulan Ogos 2015.

Pertandingan WSMB dan WSMP 2014 telah diadakan dari 11 hingga 17 Jun 2014 di pelbagai institusi kemahiran seluruh Negara dengan sembilan bidang kemahiran WSMB yang melibatkan pembinaan telah diurusetiakan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) iaitu Welding, Plumbing and Heating, Joinery, Refrigeration and Air Conditioning, Wall and Floor Tiling, Bricklaying, Mechanical CADD design dan Electrical Installation.

Kemuncak bagi majlis ini ialah pengumuman pemenang Anugerah tangan Emas Perdana Menteri.  Bagi kategori belia, Encik Muhamad Hafiz Rohani daripada bidang Electrical Installation diumum penerima Anugerah manakala bagi kategori pengajar jatuh kepada Khairul Azhar Mat Nasir daripada bidang Automobile Technology.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh YAB Tan Sri Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan antara jemputan utama yang turut hadir  ialah YB Dato’ Sri Richard Riot Anak Jaem, Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Haji Ismail Haji Abd Muttalib, Timbalan Menteri Sumber Manusia dan YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kerja Raya.

Majlis ini turut meraikan peserta dan pakar Negara yang telah memenangi pingat di Asean Skills Competition (ASC) Ke-10 di Hanoi, Vietnam. Secara keseluruhan Malaysia telah mendapat tempat kedua daripada 10 Negara yang bertanding dengan kutipan  9 pingat emas, 4 pingat perak, 4 pingat gangsa dan 17 pingat kecemerlangan.

MATEPM merupakan acara tahunan yang dianjurkan bersama oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan majlis turut diselitkan dengan pelancaran buku alumni WSMB.

Tarikh Dan Waktu Acara