Langkau ke kandungan utama
1

Majlis Solat Hajat & Penyampaian Amanat Kontigen Negara ke Worldskills Competition (WSC) Abu Dhabi 2017

SHAH ALAM, 6 OKTOBER 2017 : Kementerian Sumber Manusia bersama dengan Kementerian Kerja Raya telah mengadakan Majlis Solat Hajat dan Penyampaian Amanat Kontigen Negara ke WorldSkills Competiton (WSC) bertempat di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), Shah Alam.

Majlis amanat telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya dan turut dihadiri oleh Ketua Kontigen iaitu YB Dato’ Sri Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib, Timbalan Menteri Sumber Manusia.

WorldSkills Competition (WSC) adalah pertandingan kemahiran peringkat dunia yang dikendalikan oleh Worldskill International (WSI). Sehingga kini sebanyak 77 negara yang telah menjadi ahli organisasi Worldskills. Sebanyak 50 bidang kemahiran (Skills area) yang dipertandingkan pada WorldSkills Competition (WSC).

Tujuan utama WorldSkills Competitions (WSC) adalah untuk memperkasakan bidang Technical and Vocational Education and Training (TVET) ke peringkat yang lebih tinggi dan sebagai salah satu alat utama transformasi sosioekonomi negara. Malaysia menjadi ahli Worldskill International (WSI) sejak tahun 1993 dan pada tahun tersebut Malaysia telah menyertai buat kali pertama WorldSkills Competition (WSC) di Chinese Taipei.

WorldSkills Competitions (WSC) Abu Dhabi 2017, Malaysia akan menyertai 20 bidang yang melibatkan 21 peserta. Peserta yang dipilih adalah yang terbaik dikalangan yang terbaik (best among the best) terdiri daripada pemenang pertandingan di peringkat kebangsaan (Pertandingan WorldSkills Malaysia Belia 2015) dan pertandingan di peringkat ASEAN (ASEAN Skills Competitions 2016).

Pada 2016, Malaysia selaku tuan rumah, telah berjaya menganjurkan ASEAN Skills Competition (ASC) di Malaysia Agro Exposition Park (Maeps) Serdang pada 19 hingga 29 September 2016 dan telah berjaya menarik hampir 150,000 pengunjung. Pada pertandingan tersebut , Malaysia telah berjaya menjadi juara keseluruhan dengan membawa pulang 22 pingat emas, 4 perak dan 5 gangsa.

Manakala pada WorldSkills Competitions (WSC) 2015 di Sao Paulo, Brazil Malaysia telah berjaya meraih 1 pingat gangsa (Hairdressing) dan12 pingat Medallion of Excellence. Sasaran pingat di WorldSkills Competitions (WSC) Abu Dhabi adalah 5 pingat dan sekurang-kurangnya satu pingat emas.

Pada peringkat kebangsaan, penganjuran WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) diadakan pada setiap tahun untuk belia bawah umur 21 tahun. Ini bertujuan untuk memilih peserta-peserta yang akan bertanding ke ASEAN Skills Competitions (ASC) dan WorldSkills Competitions (WSC).

Pencapaian sebenar di sebalik memperolehi pingat adalah untuk mencapai hasrat negara menjadi negara maju dan melahirkan pekerja yang berkemahiran dan berkualiti tinggi iaitu 35% tenaga kerja mahir menjelang 2020.

Tarikh Dan Waktu Acara