Langkau ke kandungan utama
0

Majlis Apresiasi Budi & Bakti KKR 2023

Kuala Lumpur, 14 November 2023YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya bersama-sama YBhg Datuk Seri Hj Hasnol Zam Zam Bin Hj Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya hadir ke Majlis Apresiasi Budi & Bakti yang diadakan bagi meraikan 15 orang pegawai yang telah bersara pada tahun 2023 di Kementerian Kerja Raya (KKR). Pada tahun ini seramai 15 orang pegawai telah bersara, 10 orang bersara wajib, dan 5 orang bersara pilihan. Majlis ini telah diadakan di Bilik Tanjung, Aras 6, Blok A, Kompleks Kerja Raya.

Majlis Apresiasi Budi & Bakti yang diadakan pada hari ini adalah bagi menghargai khidmat bakti dan pengorbanan pesara di sepanjang perkhidmatan sebagai penjawat awam. Ada yang telah berkhidmat di KKR selama 39 tahun dan ada juga yang telah memberikan perkhidmatan di pelbagai Kementerian atau Jabatan. 

Kerajaan telah mengumumkan pemberian Bayaran Insentif Awal sebanyak RM1,000 kepada para pesara dan veteran yang akan dibayar pada Februari 2024 sementara menunggu Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam yang dijangka dimuktamadkan pada penghujung tahun hadapan. Diharap ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban para pesara.

Seiring dengan kepesatan teknologi digital, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah membangunkan satu aplikasi khusus untuk kegunaan para pesara Kerajaan. Aplikasi yang diberi nama MyPesara merupakan satu aplikasi pintar yang dibangunkan bertujuan memberi kemudahan kepada pesara Kerajaan Malaysia mendapatkan maklumat seperti data peribadi, data perkhidmatan dan membuat semakan pencen setiap bulan.

Semua pesara / penerima pencen / waris pesara Kerajaan boleh memuat turun aplikasi MyPesara ke dalam peranti tuan-puan daripada Google Playstore dan Apple Appstore secara percuma. Dengan aplikasi ini, ianya akan memudahkan para pesara menguruskan urusan persaraan, mendapatkan maklumat terkini mengenai hal ehwal persaraan serta menyemak dan mengemaskini status pencen di mana-mana sahaja pada bila-bila masa sahaja.

KKR mengucapkan semoga segala kenangan sebagai seorang penjawat awam menjadi memori indah yang mewarnai kehidupan para pesara semua.

Tarikh Dan Waktu Acara