Langkau ke kandungan utama
0

Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) Dan Anugerah Tokoh Mahir (ATM) 2023

Shah Alam, 23 November 2023Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) merupakan acara tahunan peringkat kebangsaan bagi memberi pengiktirafan kepada individu yang cemerlang dalam pertandingan kemahiran peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Turut di hadiri oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Abdul Rahman bin Mohamaddan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hj Hasnol Zam Zam Bin Hj Ahmad.

Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri merupakan anugerah tertinggi yang diberikan kepada pemenang terbaik keseluruhan dalam Pertandingan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) dan WorldSkills Malaysia Pengajar (WSMP). Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) turut menganjurkan pertandingan JuniorSkills Malaysia (JSM) dan WorldSkills Malaysia University Challenge (WSMUC).

Selain itu juga, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bersama JPK telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan Pertandingan Kemahiran WSMUC 2023 yang merupakan penganjuran program kali kedua setelah dianjurkan kali pertama pada tahun 2022 secara dalam talian. Buat julung kalinya, Anugerah Tokoh Mahir (ATM) diperkenalkan dan akan disampaikan bersama dalam MATEPM.

Majlis ini juga bertujuan untuk meraikan peserta negara yang berjaya di dalam pertandingan peringkat antarabangsa iaitu WorldSkills ASEAN Singapore 2023 yang telah berlangsung pada 23 hingga 25 Julai 2023 serta kejayaan peserta negara dalam 10th International Abilympics 2023 pada 23 hingga 25 Mac 2023 di Perancis.

Pertandingan kemahiran ini dilaksanakan adalah bagi tujuan melahirkan tenaga kerja mahir bagi keperluan industri melalui:

(i) Mengiktiraf belia yang berkemahiran tinggi;

(ii) Menggalakkan persaingan sihat dikalangan belia dalam meningkatkan kemahiran;

(iii) Meningkat kesedaran masyarakat tentang kepentingan bidang kemahiran;

(iv) Meningkatkan imej kerjaya warga kemahiran; dan

(v) Memilih peserta negara ke pertandingan kemahiran peringkat antarabangsa.

Pertandingan Kemahiran peringkat kebangsaan yang merangkumi WSMB, WSMP dan JSM peringkat pra-kelayakan telah berjaya dilaksanakan pada 9 Mei hingga 12 Jun 2023 dengan penyertaan keseluruhan seramai 1,467 orang. Daripada 1,467 orang yang menyertai pertandingan pra-kelayakan ini, seramai 349 orang iaitu 24% layak ke pertandingan peringkat akhir yang telah berjalan pada 15 September hingga 16 Oktober 2023. Sebanyak 28 bidang dipertandingkan bagi kategori belia (WSMB), 10 bidang kategori pengajar (WSMP) dan 7 bidang kategori junior (JSM).

Penerima Tangan Emas Perdana Menteri WSMB 2022 bidang di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya (KKR) iaitu bidang bricklaying dianugerahkan kepada Muhammad Hakimi bin Abu Bakar dari GIATMARA Kota Bharu, Kelantan.

KKR berharap melalui anugerah ini dapat menyemarakkan keinginan anak-anak muda dan golongan belia untuk meningkatkan lagi latihan dan kemahiran tambahan demi kemajuan negara di masa akan datang.

Tarikh Dan Waktu Acara