Langkau ke kandungan utama
0

Majlis Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AiPSA) 2023

Putrajaya, 7 November 2023 - Malam ini telah berlangsung Majlis Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AiPSA) 2023 yang dihadiri oleh Menteri Kerja Raya, YB. Dato Sri Alexander Nanta Linggi bersama Ybhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad, Ketua Setiausaha, Kementerian Kerja Raya Malaysia.

Majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya telah disempurnakan perasmiannya oleh YAB. Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.

Anugerah inovasi diwujudkan bertujuan mengiktiraf dan meraikan agensi yang telah memberi sumbangan signifikan dan nilai tambah kepada penyampaian perkhidmatan awam demi kesejahteraan rakyat. Anugerah inovasi mula diperkenalkan pada tahun 1990 dengan nama Anugerah Kualiti Perdana Menteri (AKPM) untuk keseluruhan kategori manakala bagi sektor awam pula dikenali sebagai Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam (AKPA). Bagi tempoh tahun 2009 hingga 2017, anugerah inovasi dijenamakan sebagai Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) bagi keseluruhan kategori manakala bagi sektor awam pula dikenali sebagai Anugerah Kualiti Sektor Awam (AKSA). Bagi tempoh tahun 2010 hingga 2016, AKSA dijenamakan semula sebagai Anugerah Inovasi Sektor Awam (AISA).

Walau bagaimanapun, pelaksanaan Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) dan Anugerah Inovasi Sektor Awam (AISA) telah ditangguhkan sejak tahun 2018. Program ini ditangguhkan bagi memberi laluan melaksanakan kajian keberkesanan serta penambahbaikan kedua-dua program anugerah tersebut. Sehubungan itu, bermula pada tahun 2023, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengadakan semula program anugerah inovasi ini dengan nama baharu iaitu Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AIPSA).

Tahniah diucapkan kepada pemenang-pemenang daripada pihak KKR, selamat maju jaya dan teruskan tekad anda dalam menyediakan perkhidmatan awam yang terbaik demi kesejahteraan rakyat.

Tarikh Dan Waktu Acara