Langkau ke kandungan utama
0

Lawatan Kerja Pertama Timbalan Menteri Kerja Raya Ke Lembaga Lebuhraya Malaysia

Kajang, 19 Disember 2023Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini mengadakan lawatan kerja pertamanya ke Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) setelah pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya pada 12 Disember 2023.

Dalam lawatan ini, beliau telah diberikan taklimat berkaitan LLM dan hala tuju industri lebuh raya bertol oleh barisan pengurusan LLM yang diketuai oleh Ketua Pengarah LLM, YBrs. Ir. Sazali Harun.

LLM merupakan sebuah badan berkanun yang telah ditubuhkan pada 24 Oktober 1980 mengikut Akta 231 (Perbadanan 1980) bagi tujuan menyelia reka bentuk, pembinaan, dan pengawalseliaan, operasi dan penyenggaraan lebuh raya-lebuh raya bertol.

LLM yang beribu pejabat di Kajang, turut mempunyai enam  Pejabat Wilayah iaitu Pejabat Wilayah Tengah bertempat di Kajang, Pejabat Wilayah Selatan di Senai, Pejabat Wilayah Utara di Pulau Pinang serta Pejabat Wilayah Timur di Kuantan.

Selain itu, terdapat dua Pejabat Wilayah Satelit iaitu di Pejabat Wilayah Ipoh dan Pejabat Wilayah Ajil bagi memastikan kelancaran pengawalseliaan lebuh raya bertol di seluruh negara. Sebanyak 33 lebuh raya bertol yang telah beroperasi sehingga kini dengan panjang keseluruhannya adalah 2080 kilometer.

Taklimat yang diberikan oleh LLM juga turut menyentuh pencapaian utama Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi Program Bitara Madani di mana dua daripada tiga pencapaian tersebut adalah di bawah LLM iaitu Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka (SPT) dan penambahan tempat berteduh penunggang motosikal di lebuh raya bertol. Kedua-dua inisiatif ini adalah merupakan inisiatif yang berkos rendah dan berimpak tinggi.

Datuk Seri Ahmad Maslan turut dibawa melawat ke Pusat Pengurusan Trafik LLM bagi meninjau operasi Pusat Pengurusan Trafik. Beliau turut diberikan taklimat berkenaan persediaan LLM menghadapi fasa Monsun Timur Laut (MTL) yang sedang melanda negara.

KKR dan LLM dengan kerjasama Syarikat Konsesi Lebuhraya sentiasa bersiap siaga bagi memastikan jaringan perhubungan rakyat tidak terjejas, sekaligus keselamatan pengguna dapat dipertingkatkan.

Tarikh Dan Waktu Acara